Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan

September 22, 2026 · Politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim disaran menolak tawaran peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan dan mengekalkan beliau dalam Kabinet sehingga tamat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Loke merupakan antara aset penting kepada Kerajaan Perpaduan, selain mempunyai penerimaan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang Melayu.

Menurutnya, peletakan jawatan Loke pada ketika ini berpotensi memberi kesan kepada kesinambungan beberapa projek besar Kementerian Pengangkutan yang masih dalam pelaksanaan.

“Sekiranya dia berundur daripada Jemaah Menteri, ia bukan sahaja menjejaskan kestabilan pentadbiran, malah berisiko mengganggu pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur penting yang sedang berjalan ketika ini,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Antara Pengusaha Pengangkutan dan Ahli Perniagaan di UTC Pasir Gudang, hari ini.

Hassan berkata, beliau memahami keputusan Loke yang mengambil tanggungjawab susulan pendirian DAP terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Namun, dari sudut kepentingan pentadbiran, beliau berpandangan Loke masih diperlukan bagi memastikan urusan kementerian dan projek sedia ada berjalan lancar.

“Saya faham Anthony Loke mengambil keputusan itu kerana beliau seorang pemimpin yang berani mengambil tanggungjawab. Namun daripada sudut kerajaan, jika beliau tidak berada dalam Kabinet, ia satu kerugian besar,” katanya.

Hassan turut berharap Anwar menggunakan pendekatan diplomasi bagi memujuk Ahli Parlimen Seremban itu supaya meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Pengangkutan.

Katanya, keputusan untuk berundur juga perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira PRU yang semakin hampir serta pembentangan Bajet yang bakal berlangsung.

“Saya juga menyambut baik keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP supaya Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu terus kekal dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Tidak perlu letak jawatan secara beramai-ramai dalam keadaan sekarang. Banyak projek kerajaan sedang dilaksanakan,” katanya.

Antara projek yang disentuh Hassan termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), projek landasan kereta api di Pasir Gudang serta perancangan Transit Aliran Autonomi (ART) di Johor.

Loke sebelum ini menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Berita berkaitan
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
2 jam lalu· Politik
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
21 jam lalu· Isu semasa
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
September 20, 2026· Politik
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
September 22, 2026 · Politik
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
September 22, 2026 · Politik
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
September 22, 2026 · Politik
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
2 jam lalu · Politik
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
2 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok