Perikatan Nasional.
Semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) digantung berkuat kuasa semalam selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap gabungan politik itu.
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah berkenaan dibuat di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
Bagaimanapun, RoS menegaskan penggantungan itu tidak bermaksud pendaftaran PN dibatalkan.
Menurut jabatan itu, sebelum ini PN sudah menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 22 September lalu, dengan tempoh munasabah diberikan untuk menjawab perkara dibangkitkan.
“Notis tersebut bertujuan meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS.
“Notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” menurut kenyataan itu.
RoS turut meminta semua pihak merujuk maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan berkenaan dan mengelakkan spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Perkembangan itu susulan aduan rasmi Bersatu yang diterima RoS pada 11 Ogos lalu berkaitan beberapa isu dalam PN, termasuk dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta persoalan mengenai status keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Sebelum ini, Bersatu mengesahkan menerima notis daripada RoS untuk memberikan penjelasan berkaitan perkara terbabit.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan kedudukan PN kini tertakluk kepada proses yang sedang dijalankan RoS di bawah Akta Pertubuhan 1966, sementara status pendaftarannya masih tidak dibatalkan.
RoS merupakan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik di Malaysia.
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan: Bernama
Penggantungan dua pegawai kanan Negeri Sembilan dipertikai, AG tegaskan kekal bertugas
Hubungan dengan Istana retak, Mahfuz persoal kedudukan MB Negeri Sembilan
Johari: Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum