Siaran langsung RTM.
Peminat sukan permotoran tanah air berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), bermula esok.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata siaran secara langsung itu membolehkan rakyat di seluruh negara mengikuti sendiri perlumbaan bertaraf dunia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama.
“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perlumbaan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu menyaksikan SIC dipilih sebagai lokasi sementara bagi penganjuran GP Bahrain pada musim 2026.
Anwar sebelum ini turut menyertai acara Pit Lane Walk sempena perlumbaan berkenaan, selain berkongsi perkembangan persiapan penganjuran bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
Penganjuran GP Bahrain di Sepang hadir selepas Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah pada Julai lalu hasil persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Langkah itu turut memberi nafas baharu kepada SIC sebagai antara litar ikonik dalam kalendar sukan permotoran dunia, selain membuka peluang kepada peminat tempatan menyaksikan aksi F1 di Malaysia tanpa perlu ke luar negara.
Dengan siaran langsung RTM, perlumbaan berkenaan dijangka dapat diikuti lebih ramai peminat, termasuk mereka yang tidak berkesempatan hadir ke SIC.
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum