Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM545 juta bagi pelaksanaan fasa pertama Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan 350 lokasi bagi memperkukuh liputan dan kesalinghubungan telekomunikasi di negeri itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata projek berkenaan merangkumi enam kluster dengan Surat Setuju Terima (SST) sudah diserahkan kepada syarikat yang akan melaksanakan kerja pembangunan infrastruktur digital berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan projek dijangka bermula dalam masa terdekat selepas syarikat terbabit menandatangani SST, sebelum membawa masuk peralatan dan memulakan kerja pembinaan menara telekomunikasi di lokasi ditetapkan.
“Untuk JENDELA 2 akan bermula setelah syarikat-syarikat yang terlibat menandatangani SST yang diserahkan hari ini. Jadi, mungkin dalam masa beberapa bulan akan datang, mereka akan mula membawa peralatan ke lokasi-lokasi pembinaan menara.
“Jadi ini akan bermula hampir serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Sarawak turut dikenal pasti sebagai antara lokasi penting bagi pembangunan infrastruktur kabel dasar laut menerusi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel dasar laut dirancang di Sarawak, dengan Bintulu dikenal pasti sebagai lokasi utama yang berpotensi menyokong pembangunan Pelabuhan Bintulu serta kawasan sekitarnya.
“Secara keseluruhan, program SALAM ini akan melibatkan 10 pendaratan kabel di seluruh negara,” katanya.
Kementerian Komunikasi sebelum ini memaklumkan projek SALAM dijangka bermula pada suku pertama 2027 dan disiapkan pada suku keempat 2029.
Projek itu bertujuan memperkukuh hubungan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui pembangunan sistem kabel dasar laut domestik baharu yang berkapasiti tinggi serta mempunyai laluan rangkaian alternatif dan keupayaan sandaran.
MCMC kini menjalankan proses penilaian selepas dokumen pelawaan bagi pelaksanaan projek berkenaan diterbitkan.
Pelaksanaan JENDELA 2 dan SALAM dijangka membantu meningkatkan capaian serta ketahanan infrastruktur komunikasi negara, khususnya di kawasan yang memerlukan liputan lebih baik dan rangkaian yang lebih stabil.
Usaha itu juga penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital, memudahkan akses kepada perkhidmatan dalam talian serta memperluas peluang pembangunan ekonomi di Sarawak.
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum