Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim
PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada sembilan calon yang diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, dengan harapan mampu mencipta kejutan terhadap Barisan Nasional (BN).
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, meskipun majoriti calon yang diketengahkan belum pernah bertanding, mereka dipilih berdasarkan kemampuan untuk menang dan menggugat penguasaan BN.
Menurutnya, PKR tidak boleh menganggap kemenangan mudah, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mendapatkan keyakinan pengundi di negeri itu.
“Semua orang masuk bertanding untuk menang. Namun, kemenangan bukan hanya bergantung kepada nama atau kekuatan peribadi, tetapi juga hubungan dengan masyarakat, kerja yang dilaksanakan dan agenda yang dibawa.
“Paling mustahak, kepentingan masyarakat dan rakyat sebagai pengundi perlu menjadi keutamaan,” katanya menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Ayer Keroh @ Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, Batu Berendam, hari ini.
Daripada sembilan calon PKR yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, hanya dua mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya.
Ginie Lim Siew Lin yang bakal bertanding di Machap Jaya pernah bertanding tiga kali antara 2008 hingga 2018 dan hanya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 1,336 undi.
Seorang lagi calon berpengalaman ialah Farzana Hayani Mohd. Nasir yang pernah bertanding di Sungai Rambai pada PRN 2021, namun tewas kepada calon BN, Siti Faizah Mohd. Azis. Kali ini, beliau dipilih untuk bertanding di Klebang.
Tujuh muka baharu yang diketengahkan ialah Esma Eazreen Husin di Rim, Faiq di Serkam, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan di Rembia, Denesh a/l V. Palasubramaniam di Asahan, Azman Abidin di Paya Rumput, Mohd. Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara dan Muhamad Hakimi Mokhtar di Ayer Molek.
Adam Adli berkata, calon PKR perlu membuktikan kemampuan mereka menerusi hubungan rapat dengan masyarakat, gerak kerja jentera yang berkesan serta kebolehan menyampaikan tawaran parti kepada pengundi.
Menurutnya, pengalaman dan pendekatan PKR di peringkat Persekutuan perlu diterjemahkan di Melaka, khususnya dalam aspek tadbir urus baik, tanggungjawab wakil rakyat serta agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Realitinya, PKR sendiri perlu berusaha dengan lebih keras untuk meyakinkan masyarakat bahawa apa yang telah kita laksanakan, terutama di peringkat Persekutuan, boleh dibawa dengan semangat dan prinsip yang sama ke Melaka,” katanya.
PRN Melaka kali ini menjadi medan penting buat PKR untuk menguji penerimaan pengundi terhadap barisan calon baharu, selain membuktikan kemampuan parti itu memperkukuh kedudukannya dalam PH di negeri berkenaan.
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum