Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang

October 25, 2026 · Politik

Bersatu menyuarakan kebimbangan terhadap mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung hari ini susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali berkata semua pihak perlu mengekalkan status quo keputusan RoS sehingga keseluruhan proses perundangan di mahkamah selesai.

Beliau berkata, Bersatu menerima surat jemputan daripada Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, bertarikh 23 Oktober lalu bagi menghadiri mesyuarat tergempar MT PN pada 25 Oktober.

Bagaimanapun, Azmin mempersoalkan tindakan mengadakan mesyuarat itu ketika keputusan pembatalan pendaftaran PN masih menjadi pertikaian di mahkamah.

Menurutnya, RoS membatalkan pendaftaran PN menerusi perintah bertarikh 20 Oktober lalu, manakala Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan keputusan berkenaan.

Namun, beliau berkata, mahkamah turut mengambil maklum penggantungan pelaksanaan itu tidak secara automatik memulihkan pendaftaran PN yang sudah dibatalkan.

“Bersatu berpendapat memandangkan satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan perkara yang menjadi intipati rayuan ini adalah bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak hendaklah memelihara status quo keputusan Pendaftar Pertubuhan sehingga pelupusan semua peringkat prosiding mahkamah telah ditempuh sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin turut memaklumkan Peguam Kanan Persekutuan telah memfailkan Notis Rayuan pada 23 Oktober bagi pihak ROS dan Menteri Dalam Negeri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Beliau mengingatkan, Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 menetapkan pertubuhan yang dibatalkan pendaftarannya menjadi pertubuhan menyalahi undang-undang.

Malah, katanya, Seksyen 42 akta sama memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana pemegang jawatan atau individu yang menguruskan atau membantu pengurusan pertubuhan menyalahi undang-undang, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Bersatu khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu akan membawa perkara itu kepada pasukan peguam untuk memastikan pematuhan terhadap Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966 dilaksanakan secara sah serta tertib.

Dalam perkembangan sama, Azmin turut membangkitkan isu keanggotaan Bersatu dalam PN dan pertikaian mengenai korum Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang sebelum ini dijadikan alasan untuk menafikan hak wakil Bersatu menghadiri, memberi pandangan dan mengundi dalam mesyuarat MT PN pada 16 Julai lalu.

Beliau menegaskan Bersatu merupakan parti anggota PN yang sah, seperti diperakui ROS menerusi surat bertarikh 12 Ogos 2026.

Sehubungan itu, katanya, pihak yang merancang mengadakan mesyuarat tergempar MT PN perlu menjelaskan pendirian mengenai isu korum MPT Bersatu dan status keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

“Bersatu sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya dan akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian,” katanya.

Berita berkaitan
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
6 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
20 jam lalu· Politik
Saifuddin bidas pembangkang sesama sendiri pun berpecah
October 24, 2026· Politik
Agihan kerusi Melaka: Khalid Samad sifatkan PAS jadi ‘macai’ BN
October 24, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
6 jam lalu · Politik
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
6 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
6 jam lalu · Politik
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
20 jam lalu · Politik
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok