Ringgit.
Ringgit dijangka mengukuh secara beransur-ansur kepada RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh, inflasi terkawal dan aliran masuk modal berterusan.
Hong Leong Bank Bhd (HLB) berkata, prospek positif ekonomi negara dijangka turut disokong Belanjawan 2027 yang bakal menyediakan hala tuju strategik bagi mempercepat pertumbuhan sektor bernilai tinggi, mengekalkan disiplin fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bank itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak lima peratus tahun depan, selari dengan jangkaan kerajaan terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.2 hingga 5.2 peratus.
“Dengan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak lima peratus, HLB mengekalkan prospek positif terhadap trajektori ekonomi Malaysia dengan menganggap unjuran pertumbuhan KDNK kerajaan sebanyak 4.2 peratus hingga 5.2 peratus pada 2027 sebagai sesuatu yang realistik dan boleh dicapai,” katanya.
Menurut HLB, tumpuan Belanjawan 2027 terhadap produktiviti, pembangunan tenaga kerja dan sokongan bersasar mampu membuka peluang kepada perniagaan untuk memperkukuh daya tahan operasi, meningkatkan keupayaan serta meneroka pertumbuhan bernilai lebih tinggi.
Perkara itu dibincangkan dalam forum pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertajuk ‘Business Matters with HLB: Budget 2027 Unpacked’, yang menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan pakar percukaian bagi meneliti implikasi belanjawan terhadap perniagaan serta prospek ekonomi negara.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan dan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck, berkata kerajaan kekal memberi tumpuan kepada usaha membantu perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan, produktiviti dan daya tahan jangka panjang.
Beliau berkata, perubahan rantaian bekalan global, peningkatan kos operasi dan perubahan dinamik tenaga kerja menuntut perniagaan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, termasuk pelarasan kos susulan kenaikan gaji minimum.
“Bagi menyokong perjalanan ini, HLB kekal komited untuk bersama-sama pelanggan dengan menyediakan modal dan khidmat nasihat yang diperlukan bagi membina daya saing jangka panjang,” katanya.
HLB turut berpandangan jaminan pembiayaan bersasar, langkah percukaian serta sokongan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi mampu membantu PKS meningkatkan produktiviti dan menembusi pasaran baharu.
Bank itu berkata, pendekatan fiskal kerajaan yang berhemat tetapi menyokong pengembangan ekonomi berperanan meningkatkan potensi pertumbuhan negara, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memperkukuh tadbir urus.
Dalam konteks itu, pengukuhan ringgit dijangka mencerminkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia, selain disokong pelaburan dan aliran modal yang berterusan.
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum