Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi didakwa bimbang kehilangan portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekiranya rombakan Kabinet dilakukan, sekali gus menjadi sebab beliau lebih cenderung mencadangkan pembubaran Parlimen.
Dakwaan itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi yang mempersoalkan pendirian Zahid berhubung keperluan rombakan Kabinet ketika masih terdapat kekosongan dalam Jemaah Menteri.
Menurut Puad, rombakan Kabinet lebih wajar dilaksanakan memandangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih jauh, berbanding membubarkan Parlimen seperti dicadangkan Zahid.
“Zahid takut kalau rombak Kabinet mungkin portfolio dia di KKDW akan bertukar.
“Bukan itu sahaja, portfolio menteri BN yang lain juga mungkin berubah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berpandangan pembubaran Parlimen lebih baik berbanding rombakan Kabinet bagi membolehkan rakyat memberikan mandat baharu sebelum pembentukan Jemaah Menteri seterusnya.
Cadangan itu timbul susulan kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan selepas Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya, selain tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang akan berakhir pada Disember ini.
Dalam perkembangan sama, Puad turut membangkitkan tindakan BN menjalinkan kerjasama dengan PAS menerusi penghasilan manifesto bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berpandangan tindakan itu menunjukkan BN seolah-olah sudah mengetepikan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, PH perlu mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mahu mempertahankan prinsip tanggungjawab bersama dalam kerajaan, bukannya sekadar membiarkan perkembangan itu berlalu tanpa sebarang tindakan.
“Kerajaan Perpaduan sudah tercemar baik dari segi nama atau imej jika tiada hukuman diambil,” katanya.
Puad turut mengimbas tindakan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 1987 apabila beberapa menteri dan timbalan menteri yang menyokong Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah digugurkan daripada Kabinet.
Menurutnya, pendekatan berdiam diri atau berpolitik secara berhati-hati tidak lagi sesuai dalam menangani perkembangan politik semasa.
Beliau turut mempersoalkan sama ada menteri daripada BN sanggup melepaskan jawatan sekiranya portfolio mereka diubah dalam rombakan Kabinet akan datang.
“Kita tunggu, jika portfolio menteri BN kena tukar, apakah mereka berani letak jawatan?” katanya.
Menang di Melaka, Mahfuz desak BN-PN umum pakatan
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan