Mahkamah Rayuan benarkan 1MDB kemuka afidavit baharu terhadap Rosmah

November 12, 2026 · Politik

Mahkamah Rayuan membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat berkaitan mengemukakan afidavit seorang wanita warga Singapura bagi menyokong permohonan membekukan aset Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana bernilai AS$346 juta (RM1.41 bilion).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Alwi Abdul Wahab bersama Ismail Berahim dan Leonard David Shim selepas membenarkan rayuan 1MDB dengan kos RM30,000.

Hakim Leonard David Shim ketika menyampaikan keputusan berkata, Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip undang-undang yang tidak tepat ketika menolak permohonan 1MDB untuk memasukkan afidavit berkenaan.

“Selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, memorandum rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, kami sebulat suara mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip yang salah.

“Oleh itu, rayuan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.

Menurut beliau, Kaedah-Kaedah Mahkamah tidak mewajibkan pemohon membuktikan kewujudan keadaan luar biasa bagi mendapatkan lanjutan masa mengemukakan afidavit.

Mahkamah turut mendapati kelewatan kira-kira dua bulan setengah menyediakan afidavit itu telah diberikan penjelasan yang munasabah.

Afidavit setebal 319 halaman dalam sembilan jilid itu mengandungi invois, surat-menyurat dengan penjual barangan mewah, gambar serta komunikasi yang membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Eric Tan.

Shim berkata dokumen berkenaan penting kerana berpotensi menunjukkan modus operandi skim kewangan antarabangsa yang didakwa menggunakan entiti luar pesisir bagi menguruskan pembayaran menggunakan dana 1MDB.

Beliau turut berpandangan kemasukan afidavit itu tidak akan menyebabkan prejudis ketara kepada Rosmah kerana pihaknya masih diberikan peluang mencukupi untuk meneliti dan menjawab kandungan dokumen berkenaan.

Kes saman itu difailkan pada 9 Mei 2024 oleh 1MDB bersama lima anak syarikat dan beberapa syarikat berkaitan, yang menuntut Rosmah membayar AS$346,010,489 atau jumlah lain yang ditentukan mahkamah.

Mereka turut mendakwa Rosmah memperoleh lebih 12,000 barangan mewah termasuk barang kemas, jam tangan dan beg tangan menggunakan wang yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November tahun lalu menolak permohonan 1MDB untuk memasukkan afidavit berkenaan bagi menyokong permohonan injunksi Mareva, iaitu perintah mahkamah untuk membekukan aset seseorang bagi mengelakkan pelupusan harta sementara kes berjalan.

Saman asal turut menamakan seorang wanita warga Singapura, Shabnam, sebagai defendan kedua sebelum tuntutan terhadapnya ditarik balik melalui perintah persetujuan pada 9 April tahun lalu.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 7 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan injunksi Mareva berkenaan.

Berita berkaitan
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
2 jam lalu· Politik
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
2 jam lalu· Politik
Zambry umum Ismail Lasim letak jawatan MB Negeri Sembilan
2 jam lalu· Politik
PAS sedia runding kerusi DUN Terengganu dengan BN: Samsuri
11 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Kalah PRN Melaka bukan pengakhiran perjuangan: Mohamad Sabu
11 jam lalu · Politik
Parti Rafizi mungkin terkubur awal jika terlalu idealistik – Puad
14 jam lalu · Politik
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
14 jam lalu · Politik
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
14 jam lalu · Politik
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
15 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
10 jam lalu
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis
November 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok