Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sekali lagi menggesa Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan meletakkan jawatan susulan tindakan beliau membacakan pantun berunsur sindiran di Dewan Rakyat yang didakwa menghina Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Rayer menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai sesuatu yang memalukan dan seolah-olah mengkhianati kerajaan perpaduan yang dianggotai UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, Ahmad sepatutnya memahami kedudukannya sebagai anggota pentadbiran kerajaan, bukannya menggunakan pentas Parlimen untuk menyindir rakan dalam gabungan kerajaan.
“Ini seperti permainan bola sepak, dia bawa bola jaring gol sendiri. Kan? Amat memalukan,” katanya kepada pemberita di Parlimen.
Rayer turut mendakwa Ahmad semakin bongkak dan takabur susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya negeri, termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Gesaan itu dibuat selepas Ahmad menolak desakan beberapa Ahli Parlimen PH supaya beliau berundur daripada jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya.
Ahmad sebelum ini menjelaskan pelantikannya dibuat atas cadangan UMNO dan BN, selain menegaskan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah meminta beliau meletakkan jawatan.
Kontroversi berkenaan tercetus ketika Ahmad menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, semalam.
Ahli Parlimen Pontian itu ketika berucap menyentuh isu pemansuhan tol yang disifatkannya sebagai janji PH, bukannya BN.
Beliau kemudian membacakan pantun yang menyeru rakyat menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu “kena kencing”, sekali gus mencetuskan bantahan Rayer yang mempersoalkan sama ada Ahmad bercakap sebagai timbalan menteri kerajaan perpaduan atau wakil UMNO.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Nor kemudian memutuskan pantun itu tidak merujuk kepada mana-mana parti, namun mengarahkan Ahmad menarik balik perkataan berkenaan sebelum beliau akur.
Jalaluddin Alias hangat disebut bakal jadi MB Negeri Sembilan: Laporan
Istana Negeri Sembilan belum sahkan surat peletakan jawatan Ismail Lasim
Ismail Lasim pilih untuk berdiam diri selepas letak jawatan MB: Laporan
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron