Dua lelaki gagal cabar keputusan kerajaan mansuh subsidi diesel

November 25, 2026 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan dua individu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan memansuhkan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia pada 10 Jun 2024.

Hakim Norliza Othman memutuskan permohonan Azhani Marlan @ Abd Halim dan Mohd Hatta Sanuri tidak memenuhi ambang undang-undang untuk dibawa ke peringkat pendengaran substantif.

Beliau berkata, perkara yang dicabar pemohon merupakan keputusan dasar kerajaan yang tidak boleh diadili menerusi permohonan berkenaan kerana gagal memenuhi keperluan prosedur di bawah Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah.

“Perkara yang dicabar pemohon merupakan keputusan polisi yang tidak boleh diadili kerana permohonan tersebut gagal mematuhi kehendak prosedur,” katanya ketika menyampaikan keputusan menerusi prosiding dalam talian hari ini.

Bagaimanapun, Norliza menegaskan mahkamah tidak perlu membuat dapatan permohonan itu remeh atau menyusahkan kerana isu dibangkitkan turut melibatkan persoalan perlembagaan.

Azhani, 49, dan Mohd Hatta, 50, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 7 Oktober 2024 dengan menamakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, kerajaan serta beberapa menteri Kabinet sebagai responden.

Mereka antara lain memohon perisytiharan keputusan kerajaan pada 9 Jun 2024 untuk memansuhkan subsidi diesel dan menetapkan harga runcit bahan api itu pada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka turut mempertikaikan dakwaan kegagalan kerajaan mematuhi formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dalam menentukan harga runcit diesel.

Bagaimanapun, hakim berkata kedua-dua isu berkenaan membabitkan keputusan berasingan yang memerlukan permohonan kebenaran semakan kehakiman secara berasingan.

Mahkamah turut mendapati pemohon gagal mengenal pasti punca kuasa yang didakwa disalahgunakan kerajaan dalam menentukan kadar subsidi diesel bagi Semenanjung serta Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menurut Norliza, keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, sambil mengekalkan subsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan ketika itu, dibuat berdasarkan pertimbangan fiskal, ekonomi dan sosial.

Beliau berkata pengecualian bagi tiga wilayah berkenaan mengambil kira kebergantungan tinggi penduduk terhadap kenderaan diesel, faktor geografi, keadaan jalan raya serta risiko kenaikan harga barangan.

Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan pihak kerajaan mengenai doktrin pengasingan kuasa yang mengehadkan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan dasar dan pentadbiran eksekutif.

Dalam masa sama, dakwaan kegagalan kerajaan mematuhi formula APM didapati tidak disokong bukti kukuh. Kegagalan pihak responden menjawab notis yang dihantar pemohon juga tidak boleh dianggap sebagai bukti pengiraan harga diesel dibuat secara salah.

Mahkamah turut mengambil maklum pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh negara mulai 1 Julai 2026, namun memutuskan isu pengiraan APM dan tuntutan ganti rugi masih boleh dipertimbangkan.

Kedua-dua pemohon diperintahkan membayar kos RM5,000 kepada pihak Peguam Negara.

Untuk rekod, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung pada 10 Jun 2024 dengan menetapkan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter ketika itu, manakala subsidi dikekalkan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan serta sektor yang layak.

Berita berkaitan
MCMC saman Google RM600 juta isu kandungan berbahaya di YouTube
November 25, 2026· Isu semasa
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
14 jam lalu· Isu semasa
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
November 23, 2026· Politik
Tiga pelancong Malaysia didenda RM1,447 gara-gara halang trafik di Hat Yai
November 15, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
November 25, 2026 · Isu semasa
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
November 25, 2026 · Isu semasa
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
November 25, 2026 · Isu semasa
MCMC perkukuh pertahanan siber, jalin kerjasama dengan NACSA
November 25, 2026 · Isu semasa
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
14 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok