Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Jemaah Menteri bersetuju memperluas pelaksanaan 17 inisiatif keselamatan yang sebelum ini dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada Kementerian Pertahanan (Mindef), susulan kes penglibatan anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kegiatan pengedaran dadah.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, peluasan inisiatif itu termasuk memperketat kawalan keselamatan di pangkalan udara serta fasiliti ketenteraan bagi mengelakkan aset negara disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.
Menurutnya, 17 inisiatif berkenaan sebelum ini menunjukkan keberkesanan dalam mengesan pihak yang cuba menyalahgunakan saluran atau laluan tertentu untuk melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, inisiatif ini sebelum ini tidak melibatkan pangkalan udara serta fasiliti atau premis yang diselenggara dan diuruskan di bawah pentadbiran Mindef.
“Justeru, kerjasama antara KDN, MOT dan Mindef perlu dilaksanakan segera bagi menutup kelompangan keselamatan yang masih wujud,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, hasil siasatan terhadap kes membabitkan pegawai dan anggota TUDM yang ditahan mendapati kegiatan berkenaan dipercayai sudah berlaku sejak 2024.
Beliau menegaskan kerajaan memandang serius perkara itu kerana aset ketenteraan sepatutnya digunakan khusus untuk tujuan pertahanan dan keselamatan negara, bukannya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan perlu memastikan aset-aset ketenteraan yang tujuannya untuk pertahanan negara tidak disalahgunakan oleh pihak yang mempunyai niat jahat.
“Kelompangan ini perlu ditutup segera,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan 11 individu di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menggunakan aset TUDM.
Mereka terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam, dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 96.64 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga pegawai TUDM antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram syabu.
Kes itu mencetuskan perhatian terhadap tahap keselamatan pangkalan dan aset ketenteraan, khususnya keperluan memperketat prosedur kawalan serta pemantauan bagi mengelakkan kemudahan strategik negara dieksploitasi untuk kegiatan jenayah.
Saman MCMC tidak jejas pelaburan Google di Malaysia: PMX
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
Ancaman siber jadi fokus Dasar Keselamatan Negara baharu: PMX
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib