Kritikan terbaharu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi terhadap Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.
UMNO dengan parti rakan komponen Barisan Nasional (BN), MIC dilihat kembali berkonflik selepas timbul perang mulut antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi dengan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.
Puad dalam kenyataan terbaharu menyindir Saravanan yang didakwa kecewa kerana tidak mendapat jawatan dalam kerajaan seperti yang dijanjikan.
Menurut Puad, Saravanan menuduh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi “menipu bulat-bulat” kerana didakwa menjanjikan jawatan kepadanya tetapi gagal menunaikannya sehingga hari ini.
Sedangkan katanya, pelantikan dalam kerajaan adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Kenapa Saravanan tuduh Zahid tipu dia bulat-bulat. Kononnya dia telah dijanjikan jawatan. Tetapi belum dapat sampai sekarang. Dia tahu itu hak prerogatif PMX,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Puad turut mempersoalkan tindakan Saravanan yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dan kemudian menarik balik sokongan tersebut.
“Kenapa dia tanda tangan SD sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10? Dia mungkin telah dijanjikan jawatan. Kemudian dia batal akuan bersumpah sokong Muhyiddin. Pun ada kaitan dengan jawatan,” katanya lagi.
Tambah Puad, calon BN termasuk Saravanan telah menandatangani SD bersetuju untuk tidak melompat parti dan memberi kuasa kepada ketua parti untuk membuat rundingan membentuk kerajaan.
Oleh itu, tindakan Saravanan menyokong Muhyiddin jelas bercanggah dengan prinsip itu.
“Tidakkah itu tipu bulat-bulat?” tegas beliau.
Saravanan dalam satu wawancara bersama media mendakwa dirinya telah ‘dijanjikan jawatan menteri’ oleh Zahid selepas MIC menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Namun selepas tiga tahun, beliau masih tidak melihat sebarang janji itu ditunaikan.
“Saya tidak nampak PMX akan tunaikan janji pasal jawatan. Sudah tiga tahun. Tunaikan apa lagi?” katanya seperti dilaporkan.
Puad turut membidas Saravanan yang mencabar kekuatan UMNO dalam PRU akan datang, dan menegaskan UMNO sekurang-kurangnya berjaya merampas kerusi DUN Nenggiri dalam PRN Kelantan walaupun berdepan PAS di kubu kuatnya.
“Sekurang-kurangnya UMNO rampas Nenggiri di negeri kubu kuat Pas,” kata beliau yang menasihatkan MIC agar terus kekal dalam BN dan memperkukuh kuasa rundingan sebagai langkah yang lebih praktikal daripada sekadar bergantung kepada janji jawatan.
Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
PRN NS: Manifesto PH bukan sekadar janji, 30,000 pekerjaan ada asas kukuh
MN: Bersatu cabar UMNO tarik sokongan Kerajaan Selangor
Yew nafi dakwaan beli undi di Chuah, lapor polis supaya siasatan dibuat
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS