Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham.
Hilman Idham, mendesak Menteri Pendidikan dan Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan berikutan kegagalan menangani kes kematian pelajar sekolah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang mencetuskan kemarahan rakyat, terutamanya di Sabah.
Ketua Armada Bersatu itu berkata himpunan besar-besaran di Sabah semalam membuktikan rakyat, khususnya kaum ibu, telah hilang kepercayaan terhadap sistem pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang, meskipun Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Biarpun Perdana Menteri berjanji akan menegakkan keadilan, himpunan ini menunjukkan rakyat sudah tidak yakin dengan sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, dan keadilan di negara ini.
“Jelas, kedua-dua menteri ini gagal menguruskan kes ini dengan baik,” kata Hilman dalam kenyataan hari ini.
Lebih 1,000 orang hadir dalam majlis ‘vigil’ di Dataran Harbour Mall, Sabah, bagi menyatakan solidariti dan menuntut keadilan untuk Zara.
Penganjur, Sekretariat Solidariti Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil, menyatakan program itu sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa serta desakan agar kebenaran kes ini diungkap.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.
Selain di Sandakan, solidariti turut diadakan di Tawau dan Lahad Datu.
Hilman membangkitkan kelemahan dalam pengurusan kes ini, termasuk ketidakjelasan dalam siasatan pihak berkuasa.
“Mengapa prosedur post-mortem tidak dijalankan? Ini soalan asas yang masih tidak terjawab. Ketidakcekapan ini menunjukkan kegagalan kepimpinan dalam menangani tragedi yang menyentuh hati rakyat,” katanya.
Armada Bersatu menuntut kedua-dua menteri meletakkan jawatan serta-merta dan menggesa kerajaan menubuhkan inkues khas bagi menyiasat kematian Zara Qairina.
Langkah ini penting bagi memastikan keadilan ditegakkan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara dipulihkan.
Zara Qairina, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada 16 Julai lepas dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kes ini terus menjadi tumpuan masyarakat, dengan desakan agar siasatan telus dijalankan bagi mengelakkan spekulasi berterusan.
PRN NS: Pengundi tentukan kemenangan, bukan ramalan atau nujum
Zahid ucap ‘selamat berjaya’ secara sinis kepada Hamzah selepas dicadang jadi PM
ADUN Seri Serdang bidas kempen Sanusi, seru politik lebih matang
Manifesto PH fokus pelaburan dan pekerjaan bergaji tinggi
Isu Yang Dipertuan Besar jangan dipolitikkan, hormati proses berjalan: Khalid Samad
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat