Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi, menyindir cadangan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Saifuddin Abdullah yang mengangkat Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, hasrat itu merupakan satu cita-cita yang baik dan berharap ia mendapat sokongan daripada semua pihak, sambil mengucapkan “selamat berjaya” kepada Saifuddin selepas membuat cadangan itu.
“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan mungkin satu usaha yang sangat disanjung oleh semua parti politik di negara kita.
“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat berjaya kepada cita-cita besar Saifuddin Abdullah sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” katanya secara berseloroh selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah 2026 di Seremban hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas cadangan Saifuddin dalam sebuah program audio siar sebelum ini yang menawarkan Hamzah sebagai wajah baharu untuk memimpin negara menerusi gagasan Konsensus Nasional.
Menurut Saifuddin, rakyat kini mahukan kepimpinan baharu dan tidak lagi bergantung kepada pemimpin lama, sekali gus membuka ruang kepada individu yang disifatkan lebih layak menerajui negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Wawasan yang kini menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN) turut menjalinkan persefahaman dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pada PRN kali ini, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di baki 11 kerusi.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan persaingan melibatkan 103 calon bagi merebut 36 kerusi DUN.
Pilihan raya itu turut menjadi antara medan penting mengukur kekuatan gabungan parti politik menjelang PRU-16, selain menguji keberkesanan kerjasama yang terjalin antara parti-parti yang bertanding di negeri berkenaan.
ADUN Seri Serdang bidas kempen Sanusi, seru politik lebih matang
Manifesto PH fokus pelaburan dan pekerjaan bergaji tinggi
PRN NS: SPR sasar 90 peratus pengundi awal keluar mengundi
Aminuddin beri jaminan tiada tanah rakyat terlibat dalam Projek Pelabuhan AI
Didakwa sering hilang di kawasan, calon BN Jeram Padang enggan berdebat dengan Manivannan
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat