Kementerian Kewangan (MOF).
Kerajaan menetapkan siling kelayakan bulanan subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI MADANI (BUDI95) pada kadar 300 liter sebulan berdasarkan kajian terperinci oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, dapatan kajian itu mendapati lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di negara ini tidak melebihi jumlah berkenaan.
Justeru, siling tersebut diyakini mampu memenuhi keperluan majoriti rakyat.
“Semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
“Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling ini dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi memudahkan orang ramai, kerajaan memaklumkan tiada proses pendaftaran diperlukan untuk menikmati subsidi ini.
“Hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad semasa membeli minyak pada harga subsidi,” jelas kenyataan itu.
Terminal pembaca MyKad akan disediakan di dalam kedai dan di pam minyak untuk mengelakkan kesesakan.
Kaedah digital seperti e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak turut disediakan.
Pelaksanaan BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan dibuka kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September.
Sistem kemudiannya akan dibuka kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September.
Kerajaan menasihati orang ramai agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah.
“Rakyat tidak perlu tergesa-gesa membaharui MyKad jika mereka berjaya menebus bantuan SARA sebelum ini, kerana itu membuktikan cip MyKad mereka berfungsi,” tambah kenyataan itu.
Bermula 30 September, harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter untuk rakyat tempatan, manakala warga asing akan dikenakan harga tanpa subsidi pada RM2.60 seliter.
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum