Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kementerian Komunikasi menggesa semua penyedia platform media sosial untuk melaksanakan proses pengesahan identiti pelanggan secara elektronik (eKYC) menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan langkah ini penting bagi memastikan identiti setiap pengguna disahkan sepenuhnya untuk mengurangkan jenayah penipuan dalam talian dan sekaligus menghalang kanak-kanak bawah usia 13 tahun daripada membuka akaun media sosial secara sendiri.
“Setakat ini, ia masih bersifat gesaan. Namun, apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) berkuat kuasa hujung tahun ini atau awal tahun depan, ia akan menjadi satu kewajipan,” jelas Fahmi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.
“Kita dapati platform-platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, dan TikTok tidak mempunyai sistem eKYC yang benar-benar berkemampuan.
Justeru, kita telah meminta mereka melaksanakan proses eKYC dengan menggunakan dokumen-dokumen rasmi kerajaan,” ujarnya lagi.
Beliau menekankan kerajaan bersikap tegas dalam memastikan rakyat Malaysia dilindungi daripada ancaman jenayah dalam talian seperti penipuan pelaburan, judi haram, dan penjualan barang terlarang.
Sebagai tindakan susulan, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyelaras satu pertemuan bersama pihak berkuasa dalam tempoh dua minggu ini.
Pertemuan yang akan diadakan di Singapura itu akan melibatkan wakil dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan, Kementerian Kewangan, serta syarikat platform media sosial Meta dan TikTok.
Antara isu utama yang akan dibincangkan ialah masalah penjualan barang larangan, termasuk cecair vape yang mengandungi dadah, di platform Meta seperti Facebook, serta pelaksanaan sistem eKYC yang lebih kukuh.
Jumlah pusat NADI meningkat kepada 1,099 tahun ini
RTMKlik catat 11.2 juta muat turun, Fahmi ucap terima kasih atas sokongan
Malaysia masih negara aman, jangan samakan dengan Colombia: Saifuddin Nasution
Pengurusan institusi kerajaan perlu bebas pengaruh politik: Anwar
Asyraf tegur hiburan konsert di konvokesyen UniKL, arah semak etika
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib