Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduk, diarahkan keluar dari dewan.
Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh ekoran pertikaman lidah berkenaan isu arak yang mengakibatkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduk, diarahkan keluar dari dewan.
Kekecohan tercetus ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 dipengerusikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Syahredzan Johan dan keadaan menjadi tegang apabila Mohd Misbahul, dalam celahannya, mengaitkan pengambilan arak berlebihan sebagai punca masalah kesihatan.
“Setuju atau tidak dengan pantun saya dan pandangan beberapa agama termasuk Buddha, Sikh, Hindu dan Kristian, yang agama mereka sendiri tidak galakkan pengambilan arak,” kata ahli parlimen PAS itu.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan serta-merta daripada dua Ahli Parlimen DAP, Chong Zhemin (Kampar) dan Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau).
Syahredzan terpaksa campur tangan dengan mengarahkan Mohd Misbahul menarik balik kenyataannya yang menyentuh ajaran agama lain.
“Boleh cakap agama Islam larang minum arak, agama lain tak perlu komen,” tegas Syahredzan.
Namun, Mohd Misbahul berkeras dengan pendiriannya.
“Saya takkan tarik balik sebab saya tak berkata begitu (agama lain larang minum arak), saya hanya cakap agama lain pun tidak galakkan minum arak,” jelasnya sambil mempertahankan pendirian.
Tegangan memuncak apabila Zhemin melabelkan Mohd Misbahul sebagai sudah ‘mabuk’, yang dibalas oleh Mohd Misbahul dengan kata-kata “You yang gila.”
Selepas meminta Zhemin menarik balik perkataan ‘mabuk’, Syahredzan mengambil tindakan terhadap Mohd Misbahul yang enggan mematuhi peraturannya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu kemudiannya diarahkan keluar dari dewan.
Bagaimanapun, beliau dibenarkan untuk menghadiri semula sidang pada sesi petang.
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
PRN Melaka: Zahid jamin Ab Rauf kekal Ketua Menteri jika BN menang
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum