Perbicaraan kes rasuah terowong bawah tanah membabitkan Lim Guan Eng.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didakwa telah memberikan jaminan kepada seorang ahli perniagaan bahawa syarikatnya akan mendapat sebidang tanah di Bandar Tanjung Pinang, walaupun pemilikan tanah itu hanya dipindahkan dua tahun kemudian.
Menurut Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, susulan jaminan itu, mendiang ahli perniagaan Ewe Swee Kheng telah membiayai syarikat Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) mulai 2013 bagi membangunkan Lot 702, walaupun tanah itu hanya dipindah milik kepada CZBUCG pada 2015.
“Berdasarkan perjanjian awal telah ditandatangani Kerajaan Negeri dan Pengerusi CZBUCG Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 6 Okt 2013, CZBUCG telah mengadakan kerjasama dengan EZSB untuk membangunkan tanah tersebut,” jelas Zulhilmi yang juga pegawai penyiasat kes tersebut.
Beliau berkata, urus niaga itu jelas tidak masuk akal tetapi berlaku ekoran jaminan diberikan Guan Eng kepada Ewe.
“Dalam satu rakaman percakapan pada 14 Ogos 2021, Ewe telah mendedahkan secara terperinci berkaitan pertemuan awal dengan YB Lim serta pakatan yang dibuat bersama ahli politik itu dalam memastikan beliau mendapat tanah Lot 702 itu,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi dalam kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Zulhilmi menambah, berdasarkan perjanjian tambahan pada 27 Feb 2014, syarikat Ewe, Ewein Zenith Sdn Bhd (EZSB), telah membuat pembayaran berjumlah RM26.6 juta kepada CZBUCG.
“Bayaran ini dilihat suatu tindakan berani oleh Ewe memandangkan pada masa tersebut tanah Lot 702 belum lagi dipindah milik kepada CZBUCG dan ini jelas menunjukkan Ewe berani mengambil tindakan berkenaan kerana telah diberi jaminan oleh YB Lim,” katanya.
Beliau berkata, ini mengukuhkan lagi keyakinannya terhadap keterangan Ewe yang telah meninggal dunia pada Oktober 2021.
Guan Eng didakwa dengan beberapa pertuduhan rasuah termasuk menggunakan kedudukannya untuk menerima RM3.3 juta dan meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan projek bernilai berbilion ringgit.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Azura Alwi akan disambung esok.
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan