Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengundi mana-mana pihak tertentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata setiap pegawai dan anggota mempunyai hak mutlak untuk membuat pilihan mereka sendiri tanpa sebarang sekatan atau arahan untuk mengundi pihak tertentu.
“Kita percaya kestabilan itu penting, dan saya kaitkan kestabilan politik dengan ekonomi. Namun, terpulanglah kepada pegawai dan anggota untuk mereka pilih.
“Saya percaya mereka begitu bijak untuk memastikan hak mereka mengundi, bukannya berdasarkan arahan daripada saya atau pihak-pihak tertentu,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama petugas PDRM sempena PRN di Dewan Sri Tawau, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, serta beberapa pegawai kanan polis yang lain.
Mengenai persiapan keselamatan, Mohd Khalid berkata PDRM berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan PRN berjalan lancar.
Seramai 9,200 pegawai dan anggota telah ditugaskan di seluruh negeri Sabah, termasuk pasukan bantuan dari Semenanjung.
“Kami telah mengenal pasti kira-kira 15 kawasan yang berpotensi ‘panas’ berdasarkan pilihan raya negeri lalu.
“Namun, keadaan semuanya dapat dikawal sepenuhnya dengan kerjasama semua jabatan termasuk Cawangan Khas dan Siasatan Jenayah,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab kebimbangan mengenai kemasukan pengundi asing atau isu ‘pengundi hantu’, beliau berkata tiada laporan diterima berhubung isu tersebut setakat ini.
“Setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi diterima oleh PDRM berhubung dakwaan tersebut.
“Situasi di Pantai Timur Sabah juga dilaporkan tenang dan terkawal,” ujarnya.
Isu minit pengampunan Najib, Polis mungkin panggil Tony Pua
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
Menang di Melaka, Mahfuz desak BN-PN umum pakatan
Kuasa pengampunan Agong tidak boleh dicabar: AGC
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib