Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
PKR tidak mengeluarkan sebarang arahan menyeluruh kepada ahlinya di Sabah untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi-kerusi yang menyaksikan pertembungan dua sekutu itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh menjelaskan kepimpinan pusat akan membuat penilaian berdasarkan kes demi kes untuk memutuskan pihak mana yang akan disokong, dengan keutamaan diberikan kepada peluang kemenangan calon berkenaan.
“Buat masa ini, tiada arahan menyeluruh. Kami melakukannya berdasarkan kes demi kes, bergantung kepada yang mana lebih berpeluang untuk menang,” kata Fuziah dipetik laporan media selepas Persidangan E-Dagang Asean 2025 hari ini.
Beliau menambah, keputusan muktamad mengenai calon yang akan disokong oleh parti akan dibuat ‘bila tiba masanya’.
Kenyataan ini dibuat ekoran situasi unik PRN Sabah yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempunyai pakatan pilihan raya yang berasingan dengan BN dan juga GRS di peringkat persekutuan, walaupun BN dan GRS sendiri bertanding antara satu sama lain di beberapa kerusi.
Tindakan cawangan PKR Tempasuk yang mengisytiharkan sokongan kepada calon BN di kerajaan tersebut baru-baru ini dilihat sebagai mencerminkan pendekatan kes demi kes yang dinyatakan oleh Fuziah.
Ketua Penerangan PKR Tempasuk, Aziz Bilin, ketika mengumumkan sokongan itu berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kerjasama erat PH dan BN di peringkat kerajaan persekutuan.
Pertandingan di Tempasuk menyaksikan pertembungan tujuh penjuru yang turut menyaksikan calon GRS, Arsad Bistari, yang juga penyandang kerusi, bertanding mengekalkan kedudukannya.
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum