Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, menunding kegagalan teruk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kepada kesilapan strategi dan kepimpinan yang lewat bertindak, terutamanya Pengerusinya di negeri itu, Ronald Kiandee, serta Pengarah Pilihan Rayanya, Hamzah Zainuddin.
Menurut Hisommudin dalam wawancara Podcast TigerShow, masalah bermula sejak penyusunan semula politik di Sabah selepas PRN 2020 dan Ronald tidak memainkan peranannya untuk membina semula kekuatan PN di negeri tersebut.
“Selepas sebahagian besar anggota yang menang atas tiket PN mengorak langkah menubuhkan GRS, berlaku proses pertukaran brand (jenama). Ronald Kiandee selaku Pengerusi Perhubungan PN tidak membina semula parti yang sudah ranap itu,” katanya, merujuk kepada penghijrahan besar-besaran kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata PN lebih memberi tumpuan kepada mesyuarat dalaman berbanding membina kekuatan di medan
“Akhirnya, dalam tempoh dua bulan terakhir baru terkial-kial menyusun strategi. Saya yakin calon yang diputuskan oleh PN dibuat terlalu lewat. Terlalu lewat,” katanya.
Kelewatan ini menyebabkan calon PN ketinggalan berbanding pesaing yang mungkin sudah memulakan kerja lapangan setahun lebih awal.
Hisommudin juga mempersoalkan keputusan bertanding di 42 kerusi yang dibuat oleh Ronald dan Hamzah di Sabah.
“Apakah asas mereka bertanding 42 kerusi? Adakah survei dibuat untuk mengukur kemampuan jentera dan sumber?
“Pengerusi negeri dan pengarah pilihan raya perlu bertanggungjawab atas keputusan seburuk ini,” ujarnya.
Beliau berpendapat, dengan permulaan yang lewat, PN sepatutnya menumpukan sumber pada kerusi terpilih sahaja agar tidak ‘terserak’.
Analisis Ilham Centre mendapati kemenangan di Karambunai bukanlah atas kekuatan PN.
“Ia kerana kekuatan personaliti calon, iaitu Dr. Ali Akbar Gulasan dan Datuk Seri Ronald Kiandee sendiri, yang mempunyai kredibiliti,” jelas Hisommudin.
Beliau turut menggariskan satu pengajaran penting untuk Semenanjung iaitu tren pengundi muda yang semakin berpaling tadah.
“Tren yang membengkak dalam segmen anak muda ialah pemecahan pola pengundian mereka.
“Mereka tidak lagi memilih kerana parti atau sentimen lama, tetapi lebih terjurus kepada personaliti yang mereka lihat di media sosial,” jelas Hisommudin.
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum