Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan bermula pada 1 Julai depan yang melibatkan barangan pilihan tertentu.
Pelaksanaan tersebut sejajar dengan Belanjawan 2025 yang dibentang tahun lalu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Dalam kenyataan tersebut, MOF berkata barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus.
Beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Sementara barangan keperluan asas harian berkadar sifar peratus kekal bagi ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.
Cukai jualan sifar peratus juga kekal bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Beliau berkata, bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, kerajaan mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Melengkapi usaha Kerajaan MADANI untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambah baikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” katanya.
Berkuatkuasa 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan.
Kerajaan turut menyediakan kemudahan pengecualian cukai perkhidmatan itu bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan ke atas bangunan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan dan aset ketara di luar Malaysia dan penyewa PMKS dengan jualan tahunan kurang RM500,000.
Pengecualian itu turut meliputi perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pelepasan kumpulan (group relief) bagi mengelakkan kesan cukai berganda dan kontrak tidak boleh disemak atau ‘non-reviewable contract’ diberikan pengecualian 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa.
Bagi perkhidmatan kerja pembinaan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 6.0 peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM1.5 juta.
Kerajaan juga menyediakan layanan khas seperti nilai ambang yang lebih tinggi pada RM1.5 juta bagi meringankan beban pematuhan cukai kontraktor kecil dan sederhana.
Cukai itu tidak dikenakan ke atas bangunan kediaman dan kemudahan awam berkaitan rumah kediaman; pengecualian B2B bagi mengelakkan kesan cukai berganda dan ‘non-reviewable contract’ diberikan pengecualian 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa.
Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisyen.
Kerajaan juga menyediakan layanan khas seperti perkhidmatan kewangan asas untuk rakyat kekal tidak dikenakan cukai perkhidmatan termasuk perbankan asas serta bayaran berasaskan faedah atau untung dalam prinsip pembiayaan syariah.
Perkhidmatan kewangan lain yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan adalah keuntungan pertukaran mata wang asing dan pasaran modal, caj atau bayaran yang bersifat punitif, urus niaga kiriman wang keluar Malaysia, fasiliti kewangan yang berhubung secara langsung dengan barang yang dieksport, caj kepada ejen kiriman wang di luar Malaysia atas urus niaga kiriman wang ke dalam Malaysia dan perkhidmatan pembrokeran atau penajajaminan berkaitan insurans/takaful nyawa, perubatan dan takaful keluarga bagi individu dan pengecualian B2B bagi mengelakkan kesan cukai berganda, fi yang dijalankan secara patuh syariah serta penyedia perkhidmatan untuk Bursa Malaysia dan Labuan.
Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 6.0 peratus ke atas perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, amalan tradisional dan komplimentari dan kesihatan bersekutu kepada bukan warga negara bagi penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM1.5 juta.
Kerajaan juga menyediakan layanan khas seperti warga negara Malaysia dikecualikan daripada membayar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan jagaan kesihatan awam dan swasta serta amalan tradisional dan komplimentari meliputi perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, perubatan Islam, homeopati, kiropraktik dan osteopati.
Kerajaan prihatin terhadap kebimbangan dan keresahan rakyat mengenai cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas perkhidmatan kesihatan bersekutu antaranya rawatan fisioterapi, audiologi dan terapi pertuturan.
Sehubungan itu, sebagai bantuan tambahan bagi mengurangkan kos dan meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh, warga negara Malaysia turut dikecualikan daripada membayar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan kesihatan bersekutu.
Kadar cukai perkhidmatan bagi bukan warga negara dikenakan pada kadar lebih rendah iaitu 6.0 peratus dan nilai ambang yang lebih tinggi pada RM1.5 juta bagi meringankan beban pematuhan cukai bagi penyedia perkhidmatan seperti klinik yang kecil dan sederhana.
Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 6.0 peratus ke atas pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta dengan yuran pengajian melebihi RM60,000 setahun bagi seorang pelajar.
Kerajaan juga berpandangan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas pendidikan swasta yang bernilai tinggi adalah lebih bersasar kepada golongan yang lebih berkemampuan di mana bilangan sekolah yang terkesan adalah minimum.
Sebagai tambahan, kerajaan juga memberi pertimbangan khas untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan kepada orang kurang upaya (OKU) warga negara Malaysia dan pengajian tinggi, sebaliknya cukai itu dikenakan ke atas yuran pengajian pelajar bukan warga negara.
Bagi perkhidmatan kecantikan termasuk rawatan muka dan dandanan rambut, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus ke atas nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan