Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, Fahmi Zainol, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya pada Ahad lalu.
Fahmi, 35, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari lalu.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Nazran Mohd Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Afandi Zulkifli dan Lim Jin Hong, manakala Fahmi diwakili peguam Shamsher Singh Thind.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah membuat ketetapan sama ada pertuduhan itu masih sah sebelum pengakuan direkodkan.
Shamsher berhujah bahawa isu kompaun perlu diperjelaskan terlebih dahulu.
“Dalam situasi kesalahan telah dikompaunkan oleh mangsa, maka tiada lagi keperluan untuk meneruskan pendakwaan kerana kesalahan berkenaan dianggap telah diselesaikan,” katanya di mahkamah.
Beliau merujuk Seksyen 260(1) Kanun Tatacara Jenayah dan memohon mahkamah membatalkan pertuduhan sekiranya kesalahan itu telah diselesaikan melalui kaedah kompaun.
Bagaimanapun, Nazran menegaskan kes tersebut bukan kesalahan yang boleh dikompaun kerana melibatkan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
“Kesalahan di bawah seksyen tersebut mempunyai ciri-ciri tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan kesalahan lain yang mungkin layak untuk dikompaun,” katanya.
Mahkamah menolak bantahan pihak pembelaan dan membenarkan pertuduhan dibacakan.
Dalam prosiding sama, pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000, namun mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 28 April ini.
Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor buat laporan polis
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Puad diminta bertenang, Mat Maslan minta fokus bantu hadapi PRN Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar