Harga minyak dunia meningkat ekoran perang di Iran.
Harga minyak mentah dunia melonjak mendadak pada Isnin susulan ketegangan memuncak di Asia Barat selepas serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Dalam dagangan awal Asia, harga minyak mentah penanda aras antarabangsa, Brent crude oil, melonjak melepasi AS$80 setong berbanding AS$72.87 pada penutup Jumaat lalu sebelum susut sedikit ke bawah paras AS$79.
Kenaikan itu sebenarnya sudah bermula minggu lalu apabila pasaran menjangkakan konflik bakal tercetus.
Situasi menjadi lebih tegang apabila laluan penting perdagangan minyak dunia di Strait of Hormuz kini berdepan ancaman keselamatan.
Selat sempit itu menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global setiap hari.
Walaupun Iran tidak mengumumkan penutupan rasmi, Pengawal Revolusinya memberi amaran agar kapal asing tidak melalui perairan berkenaan.
Agensi keselamatan maritim Britain melaporkan sekurang-kurangnya dua kapal diserang, masing-masing di luar pantai Oman dan Emiriah Arab Bersatu.
Media kerajaan Iran pula mendakwa sebuah kapal tangki minyak diserang dan sedang tenggelam selepas cuba melintasi selat itu secara “haram”.
Penganalisis memberi amaran kesannya boleh jadi lebih besar.
Ketua penyelidikan Timur Tengah dan OPEC+ di firma Kpler, Amena Bakr, berkata kos insurans perkapalan meningkat mendadak dalam keadaan tidak menentu ini.
“Dalam suasana sebegini, premium insurans melonjak dan risiko operasi jadi terlalu tinggi,” katanya, sambil meramalkan harga minyak berpotensi mencecah AS$90 setong.
Beberapa syarikat perkapalan utama turut mengesahkan penggantungan laluan melalui kawasan tersebut.
Penganalisis Rystad Energy, Jorge Leon berkata penutupan penuh Selat Hormuz boleh menyebabkan kehilangan bekalan antara lapan hingga 10 juta tong sehari.
“Walaupun ada laluan alternatif, kesan bersihnya tetap besar terhadap bekalan global,” jelasnya.
Secara teori, negara pengimport mempunyai rizab strategik, termasuk keperluan stok 90 hari bagi anggota OECD.
Namun pakar memberi amaran harga melebihi AS$100 setong tidak boleh diketepikan jika gangguan berlarutan.
“Tidak kira berapa banyak kapasiti simpanan strategik yang ada, ia mungkin tidak mampu menampung jurang bekalan yang terlalu besar,” kata seorang penganalisis pasaran tenaga.
Di pasaran kewangan, indeks saham Jepun susut lebih dua peratus manakala harga emas melonjak hampir dua peratus apabila pelabur mencari aset selamat di tengah ketidaktentuan global.
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan