Harga minyak dunia meningkat ekoran perang di Iran.
Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited mengekalkan harga tersebut walaupun harga minyak mentah dunia menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, harga minyak mentah Brent kini dilaporkan mencecah sekitar AS$100 setong, namun Malaysia masih mampu mengekalkan harga RON95 yang rendah melalui pelaksanaan subsidi bersasar.
“Harga minyak mentah Brent sudah meningkat kepada sekitar AS$100 setong, tetapi kita masih bertahan pada RM1.99 bagi RON95 melalui pendekatan subsidi bersasar.
“Kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Putrajaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian berkenaan yang disifatkan memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan mengawal kos sara hidup rakyat, termasuk melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani.
Anwar berkata komitmen kakitangan kementerian itu amat luar biasa kerana ada yang bekerja sehingga empat kali ganda berbanding kebiasaan bagi memastikan program bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Saya belum dengar ada rungutan walaupun tugas bertambah.
“Kadang-kadang yang menyampaikan aduan hanyalah menterinya, tetapi saya tahu mereka tetap bangga kerana program ini memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyentuh situasi geopolitik semasa yang melibatkan ketegangan di Timur Tengah, khususnya susulan serangan terhadap Iran.
Beliau menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyokong hak Iran mempertahankan kedaulatan negaranya, di samping menolak sebarang bentuk keganasan atau percubaan menindas negara lain.
“Malaysia tidak bersetuju dengan keganasan, kerakusan kuasa dan usaha untuk menakluk atau mengganggu kedaulatan negara lain,” katanya.
Malaysia sebelum ini konsisten menyuarakan sokongan terhadap prinsip kedaulatan negara dan penyelesaian konflik antarabangsa melalui pendekatan diplomasi serta keamanan.
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan