Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kabinet telah menerima dan membincangkan laporan siasatan berkaitan isu pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, laporan siasatan itu disediakan oleh jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara bagi meneliti dakwaan berhubung pemilikan saham oleh Azam.
Menurutnya, selepas meneliti laporan berkenaan, Jemaah Menteri memutuskan tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu saham Ketua Pengarah SPRM.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam sidang media khas bersama Perdana Menteri di Putrajaya.
Bagaimanapun, Fahmi tidak mendedahkan butiran laporan tersebut kerana masih terdapat langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak KSN.
“Saya tidak akan nyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh KSN. Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan daripada Shamsul Azri,” katanya lagi.
Isu pemilikan saham itu mula menjadi perhatian selepas laporan Bloomberg sebelum ini mendakwa Azam memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Susulan dakwaan tersebut, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat semua tuduhan dan perkara berbangkit yang berkaitan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Azam sebelum ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, yang dianggarkan bernilai sekitar RM800,000, dibuat secara telus serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Kontroversi itu turut mencetuskan perdebatan mengenai integriti dan tadbir urus dalam kalangan pegawai tertinggi institusi penguatkuasaan, sekali gus mendorong kerajaan meneliti isu berkenaan melalui siasatan rasmi.
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan