Stok beras.
Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan stok simpanan beras negara sehingga tempoh sembilan bulan sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan negara susulan ketidaktentuan konflik geopolitik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet sebagai persediaan awal sekiranya konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Iran berlarutan dan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
Menurutnya, rakyat tidak perlu panik kerana bekalan makanan asas negara ketika ini masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun tahun ini.
“Kabinet telah bersetuju supaya stok beras negara ditambah sehingga sembilan bulan dari sekarang. Ini merupakan langkah awal kerajaan bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa terjamin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan turut menggalakkan rakyat menanam tanaman makanan yang cepat dituai seperti cili, terung dan kucai di kawasan rumah sebagai usaha menambah bekalan makanan domestik.
“Sebagai langkah awal, saya akan arahkan pegawai di kementerian yang mempunyai kawasan rumah di atas tanah supaya memulakan tanaman yang cepat berhasil seperti cili, terung dan kucai,” katanya.
Beliau menjelaskan usaha tersebut mengingatkan kepada semangat Kempen Buku Hijau yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein pada tahun 1970-an bagi menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri.
Kempen berkenaan ketika itu berjaya meningkatkan pengeluaran makanan tempatan ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Mohamad lagi, sehingga kini kerajaan tidak melihat sebarang tanda konflik antara Amerika Syarikat dan Iran akan berakhir pada masa terdekat, justeru langkah awal perlu diambil bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai bekalan makanan atau kenaikan harga.
“Rakyat tidak perlu risau. Buat masa ini sambutlah Hari Raya seperti biasa kerana bekalan makanan negara masih mencukupi dan kerajaan sentiasa memantau keadaan,” katanya.
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
Pemuda UMNO desak hentikan pesta air di Bkt Bintang, bidas Kementerian Pelancongan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan