Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Polis mengesahkan beberapa premis yang mempunyai kaitan dengan tokoh korporat Victor Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang diserbu pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada siasatan kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata, serbuan itu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Menurutnya, siasatan masih berada pada peringkat awal dan beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil di premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan berkenaan.
“Tindakan kita terhadap Victor Chin ini dalam proses siasatan dan pada masa ini siasatan sedang dijalankan di bawah AMLA.
“Beberapa premis yang mempunyai kaitan dengannya telah diambil tindakan dan perkara ini masih dalam siasatan,” katanya dipetik laporan media semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Beliau berkata polis masih memerlukan beberapa maklumat dan dokumen tambahan bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang perkembangan lanjut diumumkan kepada umum.
“Kita masih memerlukan beberapa perkara lagi bagi melengkapkan siasatan sebelum saya panggil untuk sidang media seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, laporan media menyebut pihak berkuasa menyerbu beberapa hartanah yang dipercayai milik Chin selepas menerima maklumat daripada sumber berkaitan siasatan.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa dilaporkan merampas pelbagai barangan berharga termasuk dua buah kereta, jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia dan mata wang asing.
Selain itu, beberapa dokumen dipercayai berkaitan siasatan turut disita.
Laporan sama menyatakan Chin dan isterinya tidak berada di rumah ketika serbuan dijalankan, namun tiga pembantu rumah berada di lokasi tersebut.
Isu yang melibatkan ahli perniagaan itu timbul ketika pihak berkuasa memperhebatkan siasatan terhadap dakwaan manipulasi korporat yang dikatakan melibatkan beberapa syarikat tempatan.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan Kabinet telah mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk PDRM, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan tersebut.
Siasatan itu bertujuan memastikan sebarang salah laku kewangan atau penyelewengan korporat dapat ditangani secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Pemuda UMNO desak hentikan pesta air di Bkt Bintang, bidas Kementerian Pelancongan
Kerajaan susun semula perbelanjaan, perkhidmatan rakyat tidak terjejas: MOF
Acara rasmi kerajaan dikecilkan, pastikan perbelanjaan berhemah: Fahmi
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan