Ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong antara indvidu berdepan siasatan.
Polis mengesahkan seorang ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong, antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Ops Viking yang dijalankan antara Oktober tahun lalu hingga Januari lepas.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid berkata, Chin ditahan pada Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, namun tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.
“Kes ini masih berjalan dan kita akan memanggil mana-mana individu yang diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media.
Menurut beliau, sembilan lagi individu yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita, kesemuanya dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan siasatan.
Mereka juga telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kira-kira 40 individu lain telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Ops Viking dilancarkan susulan risikan sejak 2018 berhubung kegiatan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan pelbagai kaedah, termasuk pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia serta syarikat persendirian.
Siasatan rasmi dibuka pada Oktober 2025 di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Modus operandi mereka adalah kompleks, termasuk menggunakan struktur korporat bagi menyembunyikan sumber kewangan haram,” jelas Fazlisyam.
Dalam operasi itu, polis telah membeku dan menyita pelbagai aset bernilai tinggi, termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, serta saham dan akaun kewangan yang keseluruhannya mencecah ratusan juta ringgit.
Antara yang terlibat ialah akaun Sistem Depositori Pusat bernilai lebih RM323 juta, akaun dagangan lebih RM64 juta dan 404 akaun bank berjumlah lebih RM85 juta.
Siasatan turut melibatkan beberapa peruntukan undang-undang lain termasuk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Akta Syarikat 2016, menunjukkan kes ini merangkumi pelbagai aspek jenayah kewangan dan korporat.
Pada Mac lalu, polis turut menyerbu beberapa premis milik Chin yang dikaitkan dengan dakwaan manipulasi korporat.
Bagaimanapun, Fazlisyam berkata pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.
Kes ini dilihat antara siasatan pengubahan wang haram terbesar kebelakangan ini, mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa membanteras jenayah kewangan berprofil tinggi di negara ini.
Ringgit kukuh, ekonomi Malaysia kian diyakini dunia: Kamil
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan