Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM5 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, mencerminkan kedudukan kewangan bank pusat itu yang kekal kukuh walaupun berdepan cabaran global.
Menurut Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini, jumlah aset BNM menurun kepada RM602.22 bilion berbanding RM621.54 bilion pada tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan kesan penukaran mata wang susulan pengukuhan ringgit.
Rizab antarabangsa terus menjadi komponen terbesar aset dengan nilai RM509.79 bilion.
BNM menjelaskan liabilitinya masih didominasi oleh mata wang dalam edaran dan deposit institusi kewangan.
“Liabiliti BNM terdiri terutama daripada mata wang dalam edaran sebanyak RM177.75 bilion dan deposit oleh institusi kewangan sebanyak RM118.06 bilion,” menurut bank pusat itu.
Dari segi prestasi, BNM mencatatkan keuntungan bersih RM12.45 bilion, sedikit rendah berbanding RM13.16 bilion pada 2024, selepas mengambil kira kos pengurusan portfolio rizab dan operasi monetari.
Jumlah pendapatan pula direkodkan sebanyak RM14.35 bilion, manakala perbelanjaan operasi mencecah RM1.86 bilion.
Sebahagian besar keuntungan itu, iaitu RM7.45 bilion, dipindahkan ke Rizab Risiko yang kini berjumlah RM155.31 bilion.
BNM menegaskan langkah ini penting bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
“Memandangkan 85 peratus daripada aset BNM adalah dalam denominasi mata wang asing, penting untuk membina Rizab Risiko yang mencukupi bagi menampan volatiliti pasaran kewangan serta turun naik kadar pertukaran,” jelas BNM.
Sebagai bank pusat negara, BNM memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan monetari dan kewangan, termasuk mengurus rizab antarabangsa serta mengawal dasar monetari.
Pembayaran dividen kepada kerajaan setiap tahun merupakan sebahagian daripada sumbangan institusi itu kepada kewangan negara, di samping mengekalkan penampan kewangan yang mencukupi untuk menghadapi risiko ekonomi global.
PMX umum peruntukan pembangunan untuk Kelantan naik RM8 bilion
Cadangan kekalkan kuota BUDI95 kepada pengamal media akan dibincang: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
Nahas helikopter Kalimantan Barat: Rakyat Malaysia terkorban dikenal pasti
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan