Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Malaysia menyasarkan nilai pelaburan dan jualan sebanyak RM100 juta menerusi penyertaan sulung negara dalam Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 yang berlangsung di Annecy, Perancis dari 21 hingga 27 Jun ini.
Penyertaan yang diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah Kementerian Komunikasi itu melibatkan 11 syarikat animasi tempatan yang akan mempromosikan harta intelek (IP) Malaysia serta meneroka peluang kerjasama dengan pemain industri antarabangsa.
Menurut FINAS, penyertaan pertama Malaysia dalam festival dan pasaran animasi terbesar dunia itu merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab industri kreatif dan animasi yang berdaya saing di peringkat global.
“Malaysia akan mempromosikan harta intelek tempatan, meneroka peluang penerbitan bersama, memperluas rangkaian perniagaan serta memperkukuh hubungan dengan pemain industri antarabangsa,” menurut kenyataan FINAS hari ini.
MIFA menghimpunkan penerbit, pelabur, pengedar, penyiar, platform penstriman dan penggiat industri kreatif dari seluruh dunia, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas.
FINAS berkata, sasaran RM100 juta itu dijangka diperoleh menerusi potensi kerjasama penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran IP serta kemasukan projek produksi antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI).
“Platform ini juga membuka ruang kepada syarikat Malaysia membina jaringan antarabangsa, menarik pelaburan serta meningkatkan kebolehpasaran kandungan kreatif negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Industri animasi tempatan sebelum ini telah mencatat beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi karya seperti Upin & Ipin, BoBoiBoy dan Ejen Ali yang berjaya menembusi pasaran luar negara serta mendapat sambutan di pelbagai platform penyiaran dan penstriman.
Kerajaan turut menjadikan sektor ekonomi kreatif sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan digital, animasi dan produksi kreatif yang berpotensi menjana pendapatan eksport serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Penyertaan Malaysia di MIFA 2026 dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh jenama industri animasi tempatan di pentas dunia dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik untuk syarikat kreatif negara.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum