Langkah dasar bekerja dari rumah (BDR) dilaksanakan kerajaan bermula 15 April.
Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan sebagai langkah menghadapi tekanan semasa.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun perincian lanjut pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.
Beliau menjelaskan langkah tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan awal kerajaan dalam mengurus cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global yang sedang berlaku.
“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal serta pendekatan penjimatan oleh kerajaan,” katanya dalam satu taklimat ringkas.
Menurutnya, kerajaan turut menghargai sikap rakyat yang tidak berlebihan dalam berbelanja dan menyambut perayaan secara sederhana.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak boros serta tidak mempamerkan kekayaan seolah-olah keadaan ini biasa,” katanya.
Beliau menegaskan sikap berhemah amat penting kerana masih ramai rakyat terutama petani, nelayan dan pekerja berpendapatan rendah yang terkesan dengan keadaan semasa.
Langkah BDR ini diumumkan ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak sejak akhir Februari lalu susulan konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat, yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global termasuk harga tenaga dan kos sara hidup.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengambil langkah sementara dengan meningkatkan kuota program BUDI MADANI daripada 95 liter kepada 200 liter sebulan, selain memperluaskan pelaksanaan diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Anwar turut mengingatkan golongan berkemampuan supaya lebih peka terhadap keadaan semasa dan membantu mereka yang memerlukan.
“Golongan berada jangan alpa, sebaliknya tunjukkan keprihatinan dan hulurkan bantuan dalam keadaan ramai rakyat tertekan,” katanya.
Pelaksanaan BDR ini dijangka menjadi antara langkah segera kerajaan dalam mengurangkan kos operasi serta memberi fleksibiliti kepada penjawat awam dan sektor berkaitan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
MCMC arah turunkan lebih 271,000 kandungan scam dan judi online
MCMC perkukuh kerjasama banteras scam dalam talian dengan GASA: Fahmi
Banyak akaun palsu digunakan untuk hasilkan kandungan 3R: Fahmi
FINAS, TikTok Malaysia lancar Program Belia Kreatif
Dana RM5 juta galak belia hasilkan karya kreatif, boleh mohon 1 Jun: Fahmi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan