Konflik tercetus antara Iran dengan Amerika Syarikat menggugat keamanan dunia.
Fasa pemulihan susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat dijangka mengambil masa panjang, kata Anwar Ibrahim, sambil mengingatkan kesannya kini sudah mula dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, jangkaan itu berdasarkan pandangan dan perkongsian beberapa pemimpin antarabangsa dari negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir, Indonesia serta Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Perkembangan tersebut memberi gambaran krisis berkenaan bukan bersifat sementara, sebaliknya berpotensi berlarutan dan memberi tekanan kepada ekonomi global.
“Bila keadaan ini melegakan sedikit, tidak bermakna kita boleh selesa. Jika kita ambil ringan, ia mungkin mengundang masalah lebih berat,” katanya dalam satu taklimat ringkas.
Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak akhir Februari lalu susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, yang kemudian dibalas oleh Tehran dengan serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara Teluk.
Konflik itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keselamatan, malah turut mengganggu rantaian bekalan global, khususnya sektor tenaga.
Anwar menjelaskan Malaysia tidak terkecuali daripada tempias tersebut, namun negara masih berada dalam keadaan yang agak stabil berbanding beberapa negara lain.
“Kita harus bersyukur kerana memasuki fasa ini dengan ekonomi yang relatif stabil dan kita masih mampu bertahan,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh harga bahan api bersubsidi seperti RON95 yang kekal rendah, berbanding situasi di beberapa negara lain yang berdepan kenaikan harga, catuan dan barisan panjang di stesen minyak.
Keadaan itu, katanya, menunjukkan tekanan sebenar yang sedang dialami di peringkat global.
Pada masa sama, beliau menggesa rakyat agar bersedia menghadapi kemungkinan perubahan ekonomi dan tidak menganggap situasi semasa sebagai sesuatu yang biasa.
Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan serta mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal.
“Kesannya sudah melanda ke seluruh dunia, termasuk negara kita. Kita perlu bertindak mengikut keperluan semasa dan tidak leka,” katanya.
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum