Orang ramai diingatkan tidak meminjam Mykad untuk mengisi minyak subsidi RON95.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menggunakan MyKad milik orang lain, termasuk ahli keluarga, untuk membeli petrol bersubsidi.
Tindakan itu disifatkan sebagai kesalahan serius yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata MyKad ialah dokumen pengenalan diri rasmi yang hanya boleh digunakan oleh pemilik sah.
“Penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, larangan itu selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut mengingatkan semua urusan pembelian bahan api perlu dilakukan sendiri oleh pemegang MyKad.
“Tindakan meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada pihak lain bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membawa implikasi serius kepada pemilik kad,” tambahnya.
Amaran itu dikeluarkan susulan beberapa kes penyalahgunaan MyKad bagi mendapatkan petrol bersubsidi.
Terbaharu, satu kejadian dilaporkan di Tumpat, Kelantan apabila seorang suspek ditahan kerana dipercayai menggunakan MyKad milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata kes tersebut kini dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan suspek turut disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.
Isu ini timbul ketika kerajaan memperketat kawalan terhadap penyaluran subsidi bahan api bagi memastikan ia hanya dinikmati oleh golongan yang layak.
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan