Kapal tangki kedua Malaysia dijangka tiba hujung minggu ini.
Sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz akhirnya berjaya melepasi laluan strategik itu dan kini dalam perjalanan ke destinasi terakhir.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan perkembangan positif tersebut dicapai hasil usaha diplomatik berterusan di peringkat tertinggi antara Malaysia dan Iran.
Antara usaha itu termasuk perbualan telefon antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pada 26 Mac lalu, selain komunikasi antara Menteri Luar, Mohamad Hasan, dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi.
“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi, keselamatan dan jaminan laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar turut menegaskan dialog berterusan dan pembabitan diplomatik adalah penting bagi menangani cabaran serantau serta mengekalkan keamanan.
Perkembangan itu turut disahkan oleh Kedutaan Iran di Malaysia yang memaklumkan kapal pertama Malaysia telah berjaya melalui Selat Hormuz.
“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak melupakan rakan-rakannya,” menurut hantaran kedutaan tersebut di platform X.
Sebelum ini, tujuh kapal Malaysia dilaporkan terkandas dan menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz susulan ketegangan di Asia Barat.
Kapal terbabit terdiri daripada tiga milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), dua milik MISC Berhad, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation.
Menurut Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, pihak Tehran telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran kapal-kapal tersebut di Teluk Parsi dan hasrat mereka untuk menggunakan laluan berkenaan.
Selat Hormuz merupakan laluan perairan paling penting di dunia yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global.
Ketegangan di kawasan itu meningkat selepas Iran mengehadkan transit sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel kira-kira sebulan lalu.
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan