Dr Muhamad Akmal Saleh.
Dr Muhamad Akmal Saleh menegur kenyataan Exco Terengganu, Azman Ibrahim berhubung isu kenaikan harga minyak, dengan menegaskan Malaysia tetap terkesan oleh harga pasaran global walaupun mempunyai pengeluaran sendiri.
Ketua Pemuda UMNO itu menjelaskan pengeluaran minyak dalam negara tidak mencukupi untuk menampung keperluan domestik, sekali gus menyebabkan Malaysia bergantung kepada import.
Menurutnya, situasi itu menjadikan harga minyak tempatan terdedah kepada turun naik harga dunia.
“Jadi kita perlu import minyak dari luar, maka disebabkan itu kenaikan harga minyak dunia akan mempengaruhi harga minyak di negara kita,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Sebelum ini, Azman dilaporkan mempertahankan pandangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang menyatakan bahawa harga minyak tidak sepatutnya meningkat kerana Malaysia mempunyai sumber pengeluaran sendiri.
Azman turut menjelaskan terdapat kira-kira 120 pelantar minyak beroperasi di perairan Terengganu, dengan bekalan disalurkan ke loji penapisan di Kerteh melalui paip dasar laut atau kapal tangki.
Namun, Akmal mencabar kenyataan tersebut dan meminta Azman mengemukakan bukti kukuh jika benar pengeluaran minyak negara mencukupi tanpa bergantung kepada pasaran antarabangsa.
“Ke YB ada fakta yang lain? Mana tahu YB ada fakta pengeluaran minyak kita lebih pula, boleh kongsi dengan kami semua… benda betul kita wajib pertahankan, yang salah kita perlu perbetulkan,” katanya lagi.
Perdebatan ini tercetus susulan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mempersoalkan kaitan antara kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk isu sekatan di Selat Hormuz.
Beliau berpendapat Malaysia tidak seharusnya terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta hubungan dengan negara pengeluar lain.
Untuk rekod, walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak dan gas, negara ini masih mengimport petroleum bertapis bagi memenuhi permintaan domestik.
Keadaan ini menyebabkan harga bahan api tempatan kekal dipengaruhi oleh pasaran global, termasuk faktor geopolitik dan gangguan bekalan antarabangsa.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan