Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Cadangan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka mencetuskan perdebatan hangat apabila beberapa pemimpin politik menyifatkannya sebagai langkah tidak wajar serta bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan penggunaan peruntukan darurat semata-mata untuk menunda pilihan raya adalah satu penyalahgunaan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai langkah oportunis politik.
“Kuasa menentukan PRN terletak pada kerajaan negeri, manakala pengisytiharan darurat pula adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Menggunakannya untuk tujuan politik adalah tidak wajar,” katanya.
Cadangan itu timbul susulan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang menggesa kerajaan negeri memohon darurat bagi menangguhkan PRN, dengan alasan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup akibat krisis bahan api global.
Dalam konteks semasa, Malaysia turut merasai tempias ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan harga minyak dan rantaian bekalan dunia.
Namun, beberapa pemimpin berpendapat keadaan itu tidak cukup serius untuk mengisytiharkan darurat.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan negara tidak berada dalam situasi darurat seperti ketika pandemik Covid-19.
“Keadaan sekarang tidak menghalang rakyat keluar mengundi. Negara juga tidak terlibat dalam peperangan dan keselamatan dalam negeri masih terkawal,” ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz yang menyifatkan alasan ekonomi sebagai tidak kukuh untuk menggantung proses demokrasi.
Menurutnya, Malaysia pernah melalui krisis ekonomi besar seperti pada 1998 dan 2008 tanpa perlu mengisytiharkan darurat.
“Jika setiap ketidaktentuan ekonomi dijadikan alasan darurat, maka proses demokrasi boleh terganggu setiap kali ekonomi mencabar. Ini jelas tidak masuk akal dalam sistem demokrasi,” katanya.
Beliau menambah, walaupun konflik antarabangsa memberi kesan global, ia tidak boleh disamakan dengan ancaman keselamatan domestik.
“Darurat sepatutnya hanya digunakan dalam keadaan luar biasa seperti ancaman keselamatan dalam negara atau kegagalan sistem pemerintahan,” tegasnya.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
PN kena segera lantik Ketua Pembangkang, sokong sesiapa saja calon PAS: Muhyiddin
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan