Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani.
Seorang rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Rendah Toyama, Jepun, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan penipuan.
Menurut peguam yang dilantik keluarga, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 18 November 2025, sekali gus menjadikan tempoh sebenar penjara sekitar tiga tahun sembilan bulan.
“Bagaimanapun, kita akan memasukkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk proses seterusnya,” katanya sambil menambah harapan agar terdapat pertimbangan khas berdasarkan undang-undang Jepun.
“Terdapat peruntukan di bawah Artikel 25 Kanun Keseksaan Jepun yang membolehkan hukuman digantung, dan ini memberi peluang untuk beliau pulang ke Malaysia dengan syarat tertentu,” jelasnya.
Kes ini mendapat perhatian selepas Faiq dilaporkan berlepas ke Jepun pada November tahun lalu sebelum ditahan pihak berkuasa di wilayah Toyama.
Siasatan mendapati dia dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian, namun keluarganya mendakwa beliau sebenarnya menjadi mangsa sindiket yang memperdayakannya.
Terdahulu, timbul pelbagai laporan tidak tepat mengenai penahanannya, termasuk dakwaan bahawa dia ditahan bersama wang dan emas bernilai kira-kira RM500,000. Bagaimanapun, maklumat itu kemudian disangkal.
Faiq disiasat di bawah Artikel 246 (1) Kanun Keseksaan Jepun berkaitan kesalahan penipuan serta Artikel 60 yang melibatkan kesalahan dilakukan secara bersama, peruntukan yang hampir menyerupai Seksyen 420 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan Malaysia.
Noor Svetlana turut memaklumkan bapa Faiq, Mohd Jailani, berpeluang bertemu dan bercakap dengan anaknya buat pertama kali melalui jurubahasa ketika perbicaraan berlangsung di Jepun.
“Kami berharap ada keajaiban berlaku dan hukuman ini dapat diringankan. Dia bukan dalang utama, sebaliknya terpedaya dan naif mempercayai individu lain,” katanya.
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
Pemuda UMNO desak hentikan pesta air di Bkt Bintang, bidas Kementerian Pelancongan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan