Kes mahkamah.
Mahkamah Sesyen Teluk Intan memerintahkan Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 selepas didapati bersalah memfitnah seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Perak melalui media sosial.
Hakim Gan Peng Kun membuat keputusan itu pada 11 Mac 2026 selepas mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan yang dikeluarkan defendan telah mencemarkan reputasi plaintif, Badrul Hisham Badarudin yang juga merupakan Pegawai Khas Menteri Besar Perak.
Kes ini berkait dengan beberapa kandungan yang disiarkan menerusi podcast, TikTok dan Facebook sekitar 27 hingga 29 Oktober 2024.
Dalam penghakiman, mahkamah mendapati semua kenyataan berkenaan bersifat fitnah selepas melalui perbicaraan penuh yang melibatkan keterangan saksi serta penelitian bukti.
Defendan diarahkan membayar RM100,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 ganti rugi teladan dan RM50,000 ganti rugi teruk.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan bayaran faedah lima peratus setahun ke atas jumlah tersebut bermula dari tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran penuh, serta kos tindakan sebanyak RM16,344.
Mahkamah juga mengeluarkan injunksi mandatori supaya semua kenyataan berunsur fitnah itu ditarik balik dan dipadam daripada mana-mana platform termasuk Facebook dan TikTok.
Defendan turut dilarang daripada mengulangi kenyataan sama dalam apa jua bentuk kepada pihak ketiga.
Peguam kepada plaintif berkata keputusan itu mencerminkan ketegasan mahkamah dalam melindungi reputasi individu daripada serangan tidak berasas.
“Keputusan ini jelas menunjukkan bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap penyebaran fitnah, khususnya di platform digital yang mudah mempengaruhi orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah tindakan undang-undang diambil selepas kenyataan tersebut memberi kesan negatif terhadap imej plaintif sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Perak.
“Ini juga menjadi peringatan kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat,” ujarnya.
PH tolak cubaan ambil alih kerajaan Negeri Sembilan
Pemimpin utama Kerajaan Perpaduan bertemu, cari jalan keluar krisis NS
Krisis NS: Muhyiddin serah kepada pemimpin atasan PN beri penjelasan
Parti Amanah nafi terlibat dalam isu dana zakat
Krisis Negeri Sembilan tak beri kesan kepada kerajaan pusat: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan