Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Sebanyak 22 kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan dipintas dan diceroboh oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza, mencetuskan kebimbangan termasuk terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata telah menerima taklimat daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, berhubung insiden tersebut.
Menurutnya, maklumat terkini setakat jam 7.00 malam menunjukkan hanya satu kapal berjaya dihubungi.
“Kapal TamTam telah terputus hubungan lebih 10 jam selepas alat komunikasi dan enjin kapal dipercayai disabotaj. Setakat ini, 21 kapal lain masih belum dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden ini turut melibatkan 10 rakyat Malaysia, sekali gus menambah kebimbangan terhadap keselamatan mereka di tengah konflik yang berlarutan di rantau itu.
Malaysia mengecam keras tindakan pencerobohan tersebut, yang disifatkan sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa kerana berlaku di perairan antarabangsa.
“Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencabulan ini,” tegas Fahmi.
Misi flotila ini merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, wilayah yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan akibat sekatan dan konflik berterusan antara Israel dan Palestin.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai misi bantuan laut ke Gaza sering berdepan risiko keselamatan termasuk sekatan dan tindakan ketenteraan.
Orang ramai juga diingatkan supaya merujuk kepada sumber rasmi, termasuk SNCC, agensi kerajaan dan media arus perdana.
“Kita menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya lagi.
Sistem cukai mesti adil, golongan kaya tidak boleh terlepas: PMX
Malaysia tiada komitmen ekstradisi Zakir Naik ke India: Saifuddin
Anwar beri amaran risiko serangan siber terhadap Malaysia
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum