Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah dan komited untuk meneliti alasan penghakiman tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Perdana Menteri berkata, keputusan mahkamah itu akan diteliti dengan nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah serta Malaysia secara keseluruhan.
Namun, Anwar menyangkal tanggapan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengambil hasil Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunannya.
“Keputusan ini diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan. Namun yang memusykilkan adalah keputusan itu mengundang tafsiran yang mengelirukan, seolah-olah Kerajaan Persekutuan ini dan sebelumnya hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” tegas Anwar ketika sesi penerangan khas di Dewan Rakyat.
Sebagai menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung, beliau berkata kerajaan tidak boleh memperincikan perkara yang masih dalam pertikaian mahkamah.
Walau bagaimanapun, bagi menjawab segala tohmahan, Anwar menyatakan komitmen penuh kerajaan dalam memenuhi segala obligasi kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kerajaan pimpinannya telah mencapai kejayaan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah berjaya diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Berhad kepada kerajaan negeri.
“Selepas menyerahkan kuasa tersebut, Kerajaan Persekutuan masih tetap menyediakan peruntukan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” jelasnya.
Selain itu, Anwar turut menyenaraikan beberapa inisiatif lain seperti pengiktirafan terhadap jabatan teknikal di Sabah serta pemberian kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan sehingga RM50 juta.
Beliau turut menyebut pindaan Akta LHDN bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap lembaga tersebut.
“Kerajaan MADANI komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah,” tegasnya sekali lagi, sambil menekankan komitmen terhadap pembangunan Sabah akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
DUN Jeram Padang: Kebajikan rakyat jadi keutamaan Manivanan
Kerjasama BN-PAS dilihat lebih untungkan UMNO: Penganalisis
Aminuddin serah kepada rakyat nilai sikap BN
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil