Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Rafizi Ramli tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan pembelian Parti Bersama Malaysia (Bersama) bernilai RM8.6 juta yang kini menjadi perbualan hangat di media sosial.
Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan spekulasi terus berlarutan, terutama apabila dakwaan tersebut turut dikaitkan dengan isu dana asing dan kemungkinan campur tangan luar dalam politik negara.
Menurut beliau, sebarang persoalan berkaitan sumber kewangan bagi pengambilalihan parti politik perlu dijawab secara terbuka demi menjaga keyakinan rakyat.
“Namun saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai parti Bersama itu sendiri. Itu hak beliau sama ada mahu beli, sewa secara bulanan atau ambil alih secara percuma.
“Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Rafizi dalam podcast beliau, Presiden parti Bersama ialah Syukri Razab yang juga merupakan bekas pegawai beliau di kementerian. Maka soalan tersebut lebih wajar ditujukan kepada Presiden parti Bersama sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Isu itu tercetus selepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, memuat naik semula satu video di media sosial yang mendakwa Rafizi telah “membeli” Bersama dengan nilai RM8.6 juta.
Video berkenaan turut mempersoalkan sumber dana yang digunakan serta mendakwa bekas Menteri Ekonomi itu mempunyai agenda tertentu terhadap PKR.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Rafizi mahupun pimpinan Bersama berhubung dakwaan nilai pembelian tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun sebelum ini menyifatkan dakwaan melibatkan dana asing sebagai serius kerana boleh memberi implikasi terhadap kedaulatan negara.
“Jika benar wujud penglibatan dana asing dalam politik tempatan, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membuka ruang campur tangan pihak luar,” katanya.
Parti Bersama sebelum ini kurang dikenali dalam landskap politik negara, namun mula menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan beberapa bekas pegawai dan individu rapat dengan Rafizi.
Spekulasi mengenai hubungan parti itu dengan tokoh politik tertentu semakin hangat selepas beberapa kandungan media sosial mendakwa berlaku usaha penyusunan semula pengaruh politik menjelang pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, Rafizi turut berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan itu masih berjalan dan setakat ini tiada pertuduhan dikenakan terhadap beliau.
PAS didakwa dalang pecah belah Bersatu demi kuasai PN
PAS didakwa guna Hamzah lemahkan Bersatu: Puad
Tukar MB Perlis tak perlu undi tak percaya, luar dewan pun boleh buat: Sanusi
Hina sahabat Nabi: Amanah persoal kenapa PAS tak pecat Zawawi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi