Krisis politik Negeri Sembilan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan dan undang-undang.
Anwar berkata Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, justeru sebarang tindakan terhadap kedudukan seseorang Raja tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya.
“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.
“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Anwar Ibrahim di Alor Setar malam tadi.
Beliau berkata sebarang tindakan untuk menurunkan atau menggulingkan Raja perlu mengikut syarat serta proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan negeri.
Menurutnya, kedudukan institusi Raja-Raja Melayu merupakan sebahagian daripada kerangka pemerintahan negara dan tidak wajar ditangani secara tergesa-gesa.
“Bincanglah cara elok. Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” katanya.
Anwar turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri mempunyai batas kuasa seperti ditetapkan Perlembagaan.
“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” katanya.
Beliau berkata prinsip Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan bagi memastikan institusi beraja tidak terhakis akibat tindakan yang bercanggah dengan lunas Perlembagaan.
“Kalau Raja ini kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem Raja akan pupus di negara kita… tapi saya faham, rakyat terutamanya orang Melayu dan banyak rakyat Malaysia, orang Cina, India pun tak mahu sistem ini digugat,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan isu membabitkan institusi Raja tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui kaca mata politik kerana ia menyentuh sistem pemerintahan negara.
“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana?” katanya.
Isu kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas timbul pertikaian berkaitan kedudukan institusi berkenaan. Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan tersendiri dengan Yang Dipertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.8 juta bagi membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah.
CSA: Yuneswaran jawab kritikan Wan Saiful, kestabilan negara lebih penting
Projek30% puji langkah PKR ketengah calon wanita di PRN Melaka, cadang kuota diwajibkan
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
Zaid Ibrahim puji langkah bijak Bersatu, Syed Saddiq tandatangan CSA dengan kerajaan
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum