Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan MADANI komited memperkukuh pembangunan di Sabah dan Sarawak bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemudahan lebih baik serta kehidupan yang lebih sejahtera.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu melibatkan penambahbaikan peluang pendidikan, akses kesihatan berkualiti dan pembangunan infrastruktur asas secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati secara saksama dan berterusan oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan MADANI bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan saksama serta berterusan melalui penyediaan peluang pendidikan lebih baik, akses kesihatan berkualiti dan pembangunan infrastruktur asas yang menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri itu dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Pesta Kaamatan dan Hari Gawai merupakan sambutan tradisi tahunan yang diraikan masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai.
Kedua-dua perayaan itu juga mencerminkan kekayaan budaya dan warisan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sambutan Kaamatan dan Gawai bukan sekadar perayaan kebudayaan, malah menjadi simbol perpaduan rakyat dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
“Dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang mewarnai negara kita, sambutan ini mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kemajmukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan semangat kebersamaan, muafakat dan saling menghormati perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.
Menurutnya, sambutan itu juga menjadi peringatan tentang pentingnya semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” dan “Gayu Guru Gerai Nyamai” kepada masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Semoga sambutan ini membawa kemakmuran, keberkatan serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia tercinta,” katanya.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri