Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Isu berita palsu dan disinformasi yang semakin kompleks memerlukan kerjasama erat semua negara ASEAN, dan tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
Pendirian dinyatakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada persidangan dua hari membangunkan modul latihan memerangi berita palsu dengan menyifatkan semua pihak khususnya negara ASEAN perlu menjalinkan persefahaman dalam menangani cabaran dunia digital yang semakin mencabar.
Seminar on Developing Training Module for Combating Fake News in ASEAN 2025 yang diadakan di ibu negara itu dianjurkan Kementerian Komunikasi melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), dengan kerjasama Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD).
Program itu dihadiri lebih 80 peserta terdiri daripada pengamal media, ahli akademik dan pegawai kerajaan dari seluruh ASEAN.
Dalam ucapannya, Fahmi berkata, ancaman disinformasi dan deepfake yang didorong kecerdasan buatan (AI) kini semakin canggih dan membimbangkan.
“Kita kini berdepan era di mana penularan disinformasi dan deepfakes semakin canggih. Justeru, ASEAN perlu bersatu membangunkan modul latihan yang komprehensif bagi memperkukuh keupayaan semua negara anggota dalam menangkis ancaman ini,” katanya.
Beliau menekankan kerjasama serantau dan pendekatan strategik amat mustahak bagi memastikan orang ramai menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab.
Seminar itu memberi tumpuan membangunkan modul latihan rujukan bersama ASEAN yang merangkumi lima teras utama, termasuk pemahaman terhadap disinformasi moden, ancaman AI, kaedah semakan fakta, kerangka undang-undang serta nilai dan etika media.
Modul ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan Kuala Lumpur Declaration on the Safe and Responsible Use of Social Media Platforms for ASEAN, yang akan dibentangkan dalam mesyuarat menteri-menteri maklumat ASEAN akan datang.
Menurut kenyataan IPPTAR, seminar ini berperanan sebagai platform perkongsian pandangan, kepakaran dan pengalaman bagi memperkukuh daya tahan masyarakat ASEAN terhadap ancaman berita palsu.
Dengan penganjuran ini, Malaysia sekali lagi menzahirkan kepimpinan dalam memperjuangkan penggunaan media yang selamat dan bertanggungjawab di peringkat serantau, selaras dengan aspirasi ASEAN ke arah ekosistem maklumat yang lebih beretika.
Pertemuan Anwar dengan Presiden FIFA buka lembaran baharu untuk bola sepak tempatan
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, dokumen dikemukakan sah
MCMC dan Maktab PDRM lancar kursus khas bersama perkasa pertahanan siber negara
Polis larang perhimpunan di Ampang Park esok, jaga kelancaran Sidang ASEAN
Ribut petir landa enam negeri hingga 6 petang ini: Laporan
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa