Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menghadiri Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil, menggesa rakyat menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta akan negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing dengan penuh rasa bangga, sebagai tanda sokongan kepada kempen berkenaan.
“Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing. Jom, kita sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara.
“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) di Dataran Tanjung Emas hari ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Fahmi berkata sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi tanggungjawab besar seluruh rakyat dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperteguh kecintaan terhadap negara.
“Ia membawa tanggungjawab besar dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan, satu bulan yang menuntut kita semua mengimbau sejarah, menghargai pengorbanan dan memperbaharu iltizam terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.
Penghayatan terhadap nilai kemerdekaan, katanya amat penting supaya rakyat memahami erti sebenar kebebasan dan kehidupan sebagai sebuah masyarakat merdeka.
“Hal ini kita lakukan untuk memaknai sebuah kehidupan dan kepentingan menjadi masyarakat yang merdeka. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat dibina berlandaskan keunikan kaum yang pelbagai di negara kita,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa semangat kebersamaan yang terbentuk sejak 68 tahun yang lepas melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan telah menjadi teras kepada keamanan dan kestabilan negara. – Bernama
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan