Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memberi bayangan untuk terus menyumbang kepada rakyat dan negara walaupun menamatkan tugas rasminya mulai esok.
Dalam penampilan menerusi podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi yang disiarkan di YouTube hari ini, Azam berkata masih mahu berkongsi pengalaman dan pandangan, khususnya berkaitan usaha memerangi rasuah, namun menegaskan tidak akan terlibat dalam politik.
“Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari dia dikerandakan dalam masjid. Saya akan bekerja menyumbang apa yang saya boleh kepada negara dan rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya.
Azam yang menerajui SPRM sejak 2020 turut menjelaskan beliau akan terus memerhati perkembangan agensi antirasuah itu selepas persaraannya.
Menurutnya, beliau sedia memberi pandangan membina sekiranya diperlukan demi kebaikan institusi berkenaan.
“Saya tidak akan marah pun jika ada tindakan SPRM yang saya tidak setuju. Tetapi bila sampai masa mungkin saya akan bersuara dengan memberi pandangan yang baik dan membina,” katanya.
Beliau turut menegaskan sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman bersama pegawai SPRM, terutama golongan muda yang memerlukan nasihat berkaitan tugas dan integriti.
Mengulas kemungkinan menyertai politik atau dunia perniagaan selepas bersara, Azam menolak kedua-dua perkara itu kerana menganggap ia bukan bidang yang sesuai dengannya.
“Politik itu jauh sekali sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata perkara paling penting ialah bagaimana seseorang mengurus kehidupan dengan baik dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.
“Jika kamu menjadi manusia yang tidak berfungsi langsung, ia umpama mayat hidup,” katanya.
Sepanjang tempoh menerajui SPRM, Azam sering menjadi perhatian susulan beberapa siasatan berprofil tinggi melibatkan tokoh politik, penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau juga pernah beberapa kali menerima lanjutan kontrak perkhidmatan daripada kerajaan.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Anwar berlepas ke Rusia sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Onn Hafiz dan Loke bertemu selepas perang mulut politik
Ringgit dibuka kukuh selepas isyarat positif perjanjian damai AS-Iran
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar