Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dakwaan kononnya beliau meluluskan kewarganegaraan kepada rakyat China secara sewenang-wenangnya adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan bagi membakar sentimen rakyat.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, semua permohonan kewarganegaraan diproses mengikut Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada serta melalui tapisan keselamatan yang ketat sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Proses kelulusan kewarganegaraan tidak dibuat sesuka hati, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, isu sama pernah dijelaskan beberapa kali di Parlimen dan dalam sidang media sebelum ini, termasuk dengan data lengkap berkaitan proses permohonan kewarganegaraan.
Bagaimanapun, katanya, poster berunsur fitnah dan memainkan sentimen kaum, agama serta institusi diraja kembali tular walaupun beliau sudah menafikan dakwaan tersebut sejak Mac tahun lalu.
Saifuddin turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah percaya dengan naratif palsu yang disebarkan di media sosial tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
“Penyebaran berita palsu dan fitnah bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar supaya menghentikan tindakan itu dan lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Isu kewarganegaraan sering menjadi bahan polemik politik kerana melibatkan sensitiviti rakyat, terutama apabila dikaitkan dengan dakwaan pemberian kerakyatan kepada warga asing.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan berulang kali menegaskan setiap permohonan perlu mematuhi syarat ketat termasuk aspek keselamatan, tempoh mastautin dan penguasaan bahasa Melayu.
Saifuddin berkata, ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, semua pihak sepatutnya mengutamakan kestabilan serta perpaduan negara.
“Ini bukan masa untuk menimbulkan keresahan rakyat dengan fitnah dan propaganda tidak berasas,” katanya.
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
Kerajaan lulus RM250 juta siapkan KB Sentral, tambah bantuan pendidikan Islam Kelantan
Dana Inovasi Media: MPI hargai komitmen kerajaan perkukuh industri media
Bantu golongan miskin tanggungjawab kerajaan: Anwar
PMX umum tambahan geran bantu usahawan kecil sebanyak RM200 juta
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum