Kes mahkamah.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UBB Investment Bank Limited, Razlan Raghazli, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pelaburan bernilai RM139.89 juta milik Amanah Berhad, September tahun lalu.
Razlan, yang kini tidak lagi bekerja selepas meninggalkan bank itu pada Jun lalu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Razlan didakwa memperdaya Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Amanah Berhad, Aida Aizura Othman, dengan menyebabkan beliau mempercayai tertuduh telah menandatangani jadual pembayaran bagi kemudahan pembiayaan hartanah Islamik berdasarkan nasihat guaman daripada Tetuan Kassim Tadin, Wai & Co.
Dokumen bertajuk “Disbursement Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithamin Ajil (BBA)” itu bertarikh 18 September tahun lalu.
Akibat perbuatan itu, Aida didakwa melepaskan pembayaran berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd.
Pertuduhan turut menyatakan Razlan mengetahui tindakannya bertentangan dengan nasihat peguam dan Aida tidak akan melepaskan dana berkenaan sekiranya tidak diperdaya.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan memohon ikat jamin RM100,000 selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan Razlan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguamnya, Azimudin Abd Aziz, memohon jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan.
“Anak guam saya akan mematuhi semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM60,000 dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan. Pengurusan kes ditetapkan pada 12 Oktober.
Dalam prosiding sama, peguam yang mewakili bank sebagai pemerhati, Johan Mohan Abdullah, memohon supaya nama institusi kewangan itu tidak disiarkan media atas alasan ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu selepas mengambil kira nama bank dinyatakan dalam kertas pertuduhan dan orang ramai berhak mengetahui butiran kes.
Kes itu muncul ketika UBB Investment Berhad turut berdepan tindakan pengawalseliaan. B
ank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) mengenakan kompaun RM10 juta terhadap institusi itu pada Jun lalu kerana kegagalan melaporkan lebih 50 transaksi mencurigakan antara 2023 dan 2024, selain pelanggaran peraturan antipengubahan wang haram.
Kompaun itu dilaporkan telah dibayar sepenuhnya pada 11 Jun lalu.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum